suria

Bekas Penolong Pengurus Manchester United Salahkan Regim Latihan Van Gaal

Mike Phelan, bekas penolong pengurus Manchester United menyalahkan regim latihan kecergasan sekarang sebagai punca begitu ramai pemain kelab itu mengalami kecederaan.

> Mike Phelan berpendapat krisis kecederaan United disebabkan oleh sistem latihan

> Chris Smalling adalah pemain terbaru yang mengalami kecederaan

> Ia adalah kecederaan yang ke-43 bagi skuad Louis van Gaal

BEKAS penolong pengurus Manchester United, Mike Phelan menyalahkan regim latihan pengurus baru Louis van Gaal sebagai punca mengapa mereka kini mencatatkan jumlah kecederaan yang tinggi yang belum pernah disaksikan dalam sejarah kelab tersebut.

Pemain pertahanan United, Chris Smalling mencatatkan kecederaan ke-43 musim ini ketika beraksi dalam perlawanan menentang Southampton pada selasa.

United bagaimanapun menang 2-1 dalam perlawanan tersebut.

Ia juga adalah kecederaan Smalling yang ketiga sepanjang musim ini.

Kini pemain antarabangsa England itu dikhuatiri akan terlepas untuk beraksi menentang Liverpool di tempat sendiri Ahad ini.

Lain-lain pemain United yang masih cedera ialah Angel di Maria, Daley Blind dan Luke Shaw.

United bernasib baik apabila dua lagi pemain pertahanan iaitu Rafael Da Silva serta Phil Jones sudah bersedia untuk kembali beraksi. Kedua-duanya juga mengalami kecederaan yang panjang.

Phelan, yang bertindak sebagai orang kanan Sir Alex Ferguson selama 12 tahun sehinggalah ke musim 2013 apabila tempat ferguson diambilalih oleh David Moyes, percaya keputusan Van Gaal untuk membawa masuk pakar kecergasan pilihannya, Jos van Dijk adalah punca mengapa begitu ramai pemain mengalami masalah kecederaan.

Jawatan pakar kecergasan sebelum ini disandang oleh Tony Strudwick.

"Jika diperhatikan, pemain-pemain yang sering mengalami kecederaan adalah pemain-pemain yang serupa. Jadi United perlu melihat mengapa hanya pemain tertentu yang mengalami masalah ini. Ia mungkin berpunca daripada cara latihan yang diperkenalkan oleh regim baru,’ tegasnya.

Phelan yang kini melatih skuad utama Norwich City berkata, Tony Strudwick, yang mengetuai jabatan kecergasan dan sains sukan di United mengenali kecergasan setiap pemain dan tahu bagaimana untuk menyiapkan kecergasan mereka menjelang sesuatu perlawanan tetapi kini dia telah ditukarkan ke bahagian lain.

"Apabila United membawa masuk orang baru dan perubahan diperkenalkan, ia mungkin memberi kesan sampingan kepada para pemain yang tidak biasa dengan regim latihan kecergasan yang baru," tambahnya lagi.

Menurut Phelan, walaupun United mempunyai skuad yang besar tetapi apa yang membimbangkan buat masa sekarang ialah, sebaik sahaja mereka memperolehi semula khidmat dua pemain yang baru pulih dari kecederaan, mereka akan kehilangan pemain baru menerusi kecederaan," kata Phelan.

Smalling misalnya, mengalami kecederaan hanya selepas bermain 18 minit menentang Southampton.

Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini terpaksa direhatkan selama dua bulan selepas mengalami kecederaan yang sama sepertimana yang dialaminya semasa menentang Southampton iaitu kecederaan di pangkal paha.

Pada September, dia mengalami kecederaan pada otot paha ketika dalam latihan.


Artikel Lain