suria

Thailand Tempah Slot Ke Final Piala AFF Suzuki

Pemain Chanathip Songkrasin (kiri) meraikan gol pertama ketika menetang Filipina pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki, Rabu.

KUALA LUMPUR: Juara tiga kali, Thailand menempah slot ke final Piala AFF Suzuki 2014 selepas membenam Filipina 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam Rabu.

Kemenangan itu menyaksikan Thailand mara dengan agregat 3-0 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina pada Sabtu lepas.

Pada aksi ini, Thailand jelas menguasai babak awal perlawanan dengan kerap melakukan asakan ke kubu skuad 'The Azkals' kendalian jurulatih dari Amerika Syarikat, Thomas Dooley.

Hasilnya, mereka berada di hadapan seawal minit keenam menerusi Chanathip Songkrasin yang melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Filipina, Patrick Deyto.

Tersentak dengan gol tersebut, Filipina kembali menyusun permainan bagi mencari gol penyamaan namun kekebalan benteng pertahanan Thailand menyaksikan keputusan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Thailand yang mendapat jolokan 'Gajah Perang' meneruskan asakan dan berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-57 menerusi Thawikan Kroekrit yang menggelecek pertahanan pelawat sebelum mudah menewaskan Deyto.

Nasib malang menimpa Filipina yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Martin Steuble diperintah keluar padang oleh pengadil selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-82.

Kesempatan tersebut digunakan Thailand untuk mendominasi perlawanan dan menambah gol ketiga menerusi Kroekrit, selang empat minit kemudian untuk keputusan itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Thailand akan berdepan sama ada Malaysia atau Vietnam pada aksi final yang diadakan mengikut format timbal balik pada 17 dan 20 Disember ini.

Malaysia akan bertemu Vietnam pada separuh akhir kedua di Stadium NasionalMy Dinh, Hanoi, pada Khamis bagi menentukan slot ke final.

Pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Ahad lepas, Vietnam mengalahkan Malaysia 2-1.

Piala AFF Suzuki, Thailand, final