suria

Chee Wei Tebus Kecewa Raih Emas Acara Kata Individu

Lim Chee Wei.

PALEMBANG: Atlet karate negara Lim Chee Wei menebus kekecewaan dua tahun lepas, apabila meraih pingat emas acara Kata individu lelaki pada Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17, di sini Khamis.

Pemenang pingat emas Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan itu, tidak berdepan masalah untuk menewaskan atlet tuan rumah, Erlando Stevano 4-1 di gelanggang Graha Serbaguna, Kompleks Sukan Jakabaring.

Min Hein Khant dari Myanmar pula memenangi pingat gangsa selepas mengalahkan Preecha Jaima dari Thailand 4-1.

Pada edisi dua tahun lepas di Laos, Lim meraih pingat gangsa. 

Lim berkata, beliau sangat berpuas hati dengan kejayaan tersebut kerana berjaya mengalahkan peserta tuan rumah yang memberi tentangan sengit kepadanya.

"Memang sedikit tertekan kerana semua (kontinjen) mahu saya menyumbangkan pingat emas. Saya mengambil sasaran itu sebagai pembakar semangat untuk beraksi cemerlang di sini," katanya. 

Namun, dalam acara Kata berpasukan lelaki, Lim serta dua rakan sepasukan, Loh Chun Seng dan Wong Ken Yin gagal mempertahankan pingat emas apabila sekadar meraih pingat gangsa.

Pingat emas acara itu dimenangi pasukan Indonesia yang menewaskan Myanmar 5-0 pada aksi akhir.

Artikel Lain