PALEMBANG: Atlet lompat jauh negara, Noor Amira Mohammad Nafiah meleburkan rekod kebangsaan berusia sembilan tahun pada Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17, di sini Isnin. Meskipun sekadar meraih pingat gangsa pada acara itu, Noor Amira berjaya membuat lompatan sejauh 6.29m iaitu memperbaharui rekod sejak tahun 2005 yang dilakukan oleh Ngew Sin Mei dengan catatan 6.27m. Pingat emas diraih oleh juara Sukan Asia, Natalia Londa Mar dari Indoneisa dengan lompatan sejauh 6.40m manakala Thi Thu Thao dari Vietnam meraih pingat perak dengan 6.29m. Pelajar Universiti Putra Malaysia itu turut memegang rekod lompat kijang iaitu 13.90m yang dilakukan pada 2012. "Sasaran saya tercapai iaitu memecah rekod kebangsaan yang dipegang oleh Ngew Sin Mei selama sembilan tahun. Sejak beberapa kejohanan sebelum ini saya hanya melakukan lompatan sejauh 6.16m sahaja...memang puas hati dapat buat rekod kebangsaan di sini," kata atlet berusia 25 tahun itu. Noor Amira berkata, beliau mahu meninggalkan sementara acara utamanya iaitu lompat kijang kerana mahu memberi tumpuan kepada acara lompat jauh. "Saya tidak boleh meneruskan dalam kategori lompat kijang kerana mengalami masalah tumit kaki yang retak, saya masih dalam proses pemulihan dari kecederaan itu," katanya.