KUANTAN: Final bola sepak Piala Emas Raja-Raja antara Pahang dengan Perlis akan berlangsung di Stadium Mini Temerloh, Ahad ini, sehari selepas final Piala AFF Suzuki 2014. Setiausaha Persatuan Bola Sepak Melayu Pahang, Nazeri Hussain berkata, final pada pukul 8.45 malam itu dijangka dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Pahang. "Kita menjangkakan lebih 8,000 penyokong akan membanjiri stadium berkenaan dan tiket berharga RM15 untuk berbumbung, RM10 terbuka dan RM5 bagi kanak-kanak akan dijual stadium berkenaan pada hari perlawanan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa. Pahang layak ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agregat 3-2 manakala juara bertahan Perlis menumpaskan Kelantan dengan agregat 5-0.