Tinjauan di sekitar stadium menyaksikan ramai peniaga tempatan mengambil kesempatan dengan menjual pelbagai jenis makanan ringan dan minuman, mafla bola sepak selain penaja utama kejohanan, Suzuki yang mengambil inisiatif membuka gerai pameran kenderaan keluaran mereka.
Beberapa penyokong kedua-dua pasukan yang ditemui turut terkejut dengan kehadiran penyokong yang begitu ramai di stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang, pada perlawanan pada Rabu.
Bagi penyokong Malaysia, Ema Abd Halim, 35, yang ditemani oleh 10 orang rakannya, berharap skuad negara dapat meraih kemenangan pada perlawanan ini.
"Saya baru sampai di sini sejak semalam dan sewaktu saya tiba di stadium pukul 3 petang tadi, saya agak terkejut kerana tidak menyangka agak ramai juga penyokong skuad negara yang turut hadir ke stadium ini.
"Kalau boleh, saya harap pasukan kita boleh menang dengan jaringan 2-0," kata anak jati Kelantan itu yang bekerja sendiri.
Berkongsi pandangan yang sama adalah Azrie Hanif, 40 yang mengharapkan kedatangan sebahagian besar penyokong Malaysia mampu menjadi pembakar semangat kepada skuad Harimau Malaya beraksi cemerlang.
"Saya tiba di Bangkok bersama beberapa rakan saya dengan menaiki bas, semalam. Saya harap perjalanan jauh kami ini yang memakan masa hampir 10 jam dibalas dengan kemenangan oleh skuad kebangsaan," kata anak jati Johor itu yang bekerja sendiri.
Sementara itu seorang peminat Thailand, Naraporn Sripacharn, 26 yang datang bersama beberapa rakannya agak terkejut dengan kehadiran peminat kedua-dua pasukan dalam jumlah yang besar.
"Ini kali kedua saya datang ke stadium. Sebelum ini, saya datang ke stadium menyaksikan perlawanan antara Thailand dengan Filipina tetapi jumlah peminat tidaklah sebanyak seperti hari ini.
"Saya harap Thailand boleh menang dengan keputusan 3-0," kata penuntut Universiti Chulalongkorn itu.