Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata Pesuruhjaya Sukan akan dipilih berdasarkan ciri-ciri yang akan dibincangkan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan akan diketahui pada awal Januari depan.
"Saya dah bincang dengan Ketua Setiausaha kementerian (Datuk Jamil Salleh) bahawa tidak ada pengambilan terbuka.
"Saya dan KSU akan bincang beberapa nama dan minta pandangan dengan MOM mengenai ciri-ciri calon sesuai untuk pegang jawatan itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, Khamis.
Katanya, buat masa ini, KBS masih belum berkesempatan untuk menemuduga calon-calon bagi mengisi jawatan berkenaan.
"Kami ada banyak calon asing yang berkelayakan tetapi kami tidak mempunyai masa untuk menemuduga, mungkin kami akan lakukannya tahun depan," katanya.
Sementara itu, Khairy berkata pada mesyuarat hari ini turut membincangkan tentang persiapan bagi pengelolaan dan penganjuran Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur pada 2017.
Katanya, sebanyak 36 jenis sukan disenaraikan sebagai cadangan untuk dibawa kepada jawatankuasa induk Sukan SEA sebelum membuat pilihan terakhir bagi menghadapi temasya itu nanti.
Bekas Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Sea 2017, katanya.