Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau amat berpuas hati dengan persiapan pasukan berkenaan yang kini menjalani latihan di Australia.
Tunku Mahkota Johor itu berkata setiap pemain juga memberikan komitmen 200 peratus dan kesemua mereka menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi.
"Setiap tahun Liga Super menjadi keutamaan kerana ia membolehkan kita layak ke Piala AFC. Tapi, bagi saya menghuni (sekurang-kurangnya) tangga ketiga Liga Super dan mara ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia sudah mencukupi untuk saingan musim 2015. Jika menang, saya anggap satu bonus.
Sementara itu, Tunku Ismail mengesahkan PBNJ bakal bekerjasama dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City tidak lama lagi.
Tunku Ismail berkata wakil kelab berkenaan dijangka berkunjung ke negeri ini pada 12 Jan untuk bertemu dan berbincang dengan beliau.
Sebelum ini, PBNJ menjalinkan kerjasama dengan pasukan daripada kelab Bundesliga, Borrusia Dortmund yang bakal mengadakan perlawanan persahabatan dengan JDT pada Julai ini.
"Manchester City menyuarakan minat bekerjasama dengan PBNJ sama seperti kerjasama yang terjalin antara PBNJ dan Borrusia Dortmund. Kita akan tumpu kepada pembangunan bola sepak di sini terutama untuk pemain muda," katanya.
Tunku Ismail berkata kedua-dua pasukan berkenaan juga akan melihat kerjasama lain yang boleh diwujudkan untuk kepentingan bersama bagi perancangan jangka panjang.
"Selain kedua-dua pasukan ini, kita juga mendapat maklum balas baik daripada kelab (La Liga Sepanyol) Valencia. Saya terharu kerana orang luar dapat melihat apa yang kita sedang usahakan untuk kemajuan bola sepak di sini," katanya.