Beregu campuran Chan Peng Soon/Lai Pei Jing melakukakan kejutan untuk layak ke separuh akhir esok apabila dengan mudah menewaskan pilihan kelapan, Alan Yun Lung Chan/Tse Ying Suet dari Hong Kong dengan 21-10, 21-17.
Bagaimanapun, gandingan negara itu bakal menghadapi laluan getir ke final apabila bertemu pilihan utama Denmark, Joachim Fischer Nielsen/Christina Pedersen pada separuh akhir.
Dalam acara beregu lelaki, pertembungan semasa sendiri menyaksikan Goh V Shem/Tan Wee Kiong mengatasi Lim Kim Wah/Ow Yao Han 21-18, 21-13 untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.
V Shem/Wee Kiong juga akan berdepan dengan tugas berat untuk ke final apabila menentang beregu Taiwan, Chen Hung Ling/Wang Chi-Lin, esok.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beberapa pemain negara lain selepas kalah kepada lawan masing-masing.
Pasangan beregu wanita Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie kalah kepada pilihan utama Christina Federsen/Kamillia Rytter Juhl dari Denmark 14-21, 4-21 pada peringkat suku akhir.
Pasangan beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Teo Kok Sian pula seakan memberi harapan mampu untuk melangkah ke separuh akhir pada kejohanan kali ini apabila menang set pertama 21-19 menentang pasangan Taiwan yang juga pilihan kelapan, Chen Hung Ling-Chi Lin Wang.
Bagaimanapun faktor pengalaman jelas menutup peluang pasangan Malaysia itu, apabila tumpas dua set seterusnya 11-21, 23-25, dalam pertarungan selama 58 minit.
Harapan untuk menyaksikan wakil perseorangan lelaki dalam perlawanan separuh akhir gagal selepas ketiga-tiga wakil negara tewas pada peringkat suku akhir.
Liew Daren, yang dijangka tidak akan menghadapi masalah berhadapan pemain India, Ajay Jayaram, bagaimanapun tewas dalam pertarungan tiga set.
Daren tewas 16-21, 21-23 dan 21-8 dalam pertarungan selama 56 minit.
Harapan seorang lagi pemain Mohamad Arif Abdul Latif untuk ke separuh akhir disekat pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il.Mohamad Arif menang set pertama 21-16, bagaimanapun tewas 22-20 pada set kedua, dan kalah 11-21 pada set ketiga.
Pemain ranking ke-150 dunia, Soo Teck Zhi juga gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, 21-16, 14-21 dan 10-21 dalam pertarungan selama sejam.