suria

Van Gaal Penuhi Hasrat Penyokong

Gol pembukaan United yang disumbat Fellaini pada babak kedua perlawanan ketika menentang QPR, Ahad.

LONDON: Teriakan penyokong Manchester United yang tidak berpuas hati dengan formasi 3-5-2 pada akhir babak pertama perlawanan ketika menentang Queens Park Rangers (QPR) akhirnya mendapat perhatian Louis van Gaal.

Kumpulan penyokong itu beramai-ramai menyanyi dengan menyebut “4-4-2!” iaitu formasi yang mereka rasakan lebih serasi untuk pasukan kesayangan mereka itu.

Ternyata ia memberi kesan apabila pengurus Red Devils bagaikan menerima cadangan penyokong United pada baki 45 minit terakhir perlawanan separuh masa kedua hingga melakar kemenangan 2-0 menentang QPR dalam aksi Liga Perdana Inggeris itu.

Selepas rehat, Van Gaal membawa masuk Marouane Fellaini dan membuat perubahan formasi dan nasib menyebelahi mereka apabila Fellaini meletakkan United di depan dengan menjaringkan gol sulung perlawanan, sebelum  James Wilson, seorang lagi pemain gantian menyumbat gol kedua pada penghujung permainan.

“Apabila menang, semua akan gembira. Perubahan dilakukan dan pada masa sama pemain perlu mengubah corak permainan mereka. Tetapi, ia memang sesuatu yang sukar untuk melakukannya pada setiap minggu.

“Memang akan ada yang mempertikaikan sama ada pasukan itu berkesan atau sebaliknya, tetapi dalam bola sepak, tidak selalunya pasukan yang lebih baik akan memperoleh kemenangan,” kata Van Gaal. - AFP


Artikel Berikut

Artikel Lain