suria

F1 Masih Relevan Di Malaysia - Razlan

KUALA LUMPUR: Penganjuran perlumbaan kereta Formula 1 (F1) masih lagi relevan walaupun negara kini menghadapi krisis ekonomi berikutan kejatuhan harga minyak dunia yang turut menjejaskan nilai Ringgit Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, keadaan itu memberi kelebihan kepada negara menerusi perlumbaan F1 yang mempunyai peminat tersendiri, sekali gus dapat membantu ekonomi dari segi kemasukan pelancong luar.

"F1 membuatkan Malaysia sebagai destinasi yang menarik dari segi nilai. Pelancong (yang juga peminat F1) dari Eropah, Amerika dan Australia boleh berbelanja dengan lebih baik di negara ini.

"Penyambungan F1 masih lagi bagus untuk pelancongan. Saya amat yakin dan positif yang ini bukanlah F1 yang terakhir (di Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Sepang 12 Hours dan malam media SIC di sini, malam Isnin.

Mengenai penajaan perlumbaan F1 tahun ini yang dijadualkan pada Mac depan, Razlan berkata tiada sebarang perubahan dibuat memandangkan ia tertakluk di bawah perjanjian sebelum ini dengan Petronas selaku penaja utama.

Namun, untuk penganjuran tahun hadapan, katanya ia bergantung kepada Petronas sendiri untuk menyambung kontrak penajaan perlumbaan berkenaan.

"F1 lain sikit sebab mana-mana penajaan yang sudah komited, kita kena tunaikan. Tanpa mengira sama ada nilai matawang naik atau turun, kita kena buat juga," katanya.

Perlumban F1, yang sudah satu dekad sejak dianjurkan pada 1999, adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan Petronas bagi memperkukuh nama negara di persada antarabangsa sebagai penaja perlumbaan berprestij itu.

Dalam pada itu, Razlan berkata SIC menyambut baik saranan  Kementerian Kewangan mengenai perbelanjaan berhemat bagi mengurangkan pertukaran wang asing.

Bagi membantu usaha kerajaan, SIC mengadakan siri perbincangan dengan beberapa penganjur yang melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi agar dapat dikurangkan.

Menurutnya perbincangan dengan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) di London baru-baru ini turut mengetengahkan perkara itu dan memberi makluman mengenai program yang boleh SIC lakukan tahun ini dan tahun berikutnya selepas kontrak baharu disambung tahun hadapan.

Pihak penganjur amat memahami situasi yang dihadapi Malaysia dan SIC juga cuba mengadakan rundingan dengan Superbike World Championship (SBK) berhubung kos penganjuran perlumbaan itu, yang dijadualkan Ogos depan, katanya.

F1, SIC, Razlan Razali

Artikel Lain