suria

Liga M: Stadium SMZA Sedia Diguna Awal Februari

KUALA TERENGGANU: Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) di Gong Badak di sini boleh digunakan untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini seawalnya Februari ini, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata ini berikutan kerja pembaikan padang di stadium berkenaan dijangka siap pertengahan Februari atau Mac ini.

"Kalau nak gunakan stadium itu untuk pertandingan (bola sepak) sebelah siang tiada masalah pada Februari atau Mac, tetapi untuk main sebelah malam mungkin pada April," katanya.

Beliau berkata kerja pemasangan lampu limpah di stadium yang dapat menampung 50,000 penonton itu tergendala sedikit disebabkan hujan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi baharu pemain Liga Malaysia pasukan Terengganu dan T-Team musim ini, semalam.  

Stadium berharga RM270 juta itu dibina pada tahun 2006 sempena Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia tetapi malangnya pada 2 Jun 2009 bumbung utama stadium itu runtuh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain