KUALA LUMPUR: Skuad skuasy berpasukan wanita negara meraih slot ke final Kejohanan Remaja Asia Berpasukan ke-17 dengan menewaskan India 2-1 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu. Pada saingan separuh akhir hari ini, India terlebih dahulu berada di hadapan apabila Harshit Kaur Jawanda menewaskan wakil negara, Rachel Mae Arnold 14-12,10-12, 8-11, 11-4 dan 11-8. Pemain kedua negara, Teh Min Jie bagaimanapun menghidupkan peluang Malaysia untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas menumpaskan Akanksha Hemant Salunkhe 2-11, 12-10 11-4 dan 11-4. S. Sivasangari mengesahkan slot final Malaysia apabila mengalahkan Adya Advani 11-5, 11-3, 7-11 dan 11-8. Skuad negara akan bertemu Hong Kong pada final Ahad. Hong Kong meraih tiket ke final selepas menewaskan Singapura 2-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.