suria

Danga Bay Jadi Saksi Saingan Sengit Piala Monsun Malaysia

JOHOR sekali lagi mencatatkan sejarah tersendiri apabila dipilih untuk menjadi lokasi berlangsungnya kejohanan berprestij, Piala Monsun Malaysia untuk edisi ke-10 bertempat di Country Garden, Danga Bay mulai 9 hingga 14 Februari ini.

Sebanyak 12 pasukan mengesahkan penyertaan bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai  RM1.47 juta itu.

Selain Malaysia dan Great Britain, pasukan yang akan bersaing pada sebahagian siri jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT) itu adalah Australia, Sweden, New Zealand, Perancis, Amerika Syarikat dan Singapura.

Malaysia sebagai satu-satunya destinasi jelajah dunia AWMRT, dua venue iaitu Terengganu dan Johor akan menambah tarikan kepada kejohanan ini. 

Sebagai rekod, acara tahunan Piala Monsun diadakan di Pulau Duyong sejak 2005.

Pastinya acara yang bakal membuka tirainya pada Isnin menyaksikan persaingan sengit dan melakar sejarah baharu bagi Kejohanan Match Racing Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (International Sailing Federation - ISAF) dan Ian Williams, juragan pasukan GAC Pindar.

Sehingga kini, Williams telah menjuarai Kejohanan Dunia sebanyak empat kali (2007-2008 dan 2011-2012).

Jika beliau menjadi juara kali kelima pada Piala Monsun Malaysia ini, Williams akan mengatasi rekod yang dipegang oleh Datuk Peter Gilmour (1990, 1997-1998 dan 2006). Ini akan menjadikan Williams juragan dengan jumlah kemenangan terbanyak dalam sejarah Kejohanan Dunia yang berusia 27 tahun itu.

Pada 2013 Williams tidak berjaya di dalam usahanya memburu kejohanan kelima apabila kalah tipis dengan Taylor Canfield dari Virgin Island (Amerika Syarikat) dengan hanya perbezaan lima mata.

Untuk musim ini, Canfield dan pasukan US One masih menjadi saingan utama Williams menuju ke kejohanan di Danga Bay ini, tetapi pelayar British itu sedang mendahului musuh ketatnya dengan kelebihan enam mata.

Namun demikian, perbezaan itu tidak begitu besar kerana Williams masih perlu untuk menamatkan kejohanan di posisi yang lebih tinggi dari Canfield untuk menjadi juara dunia buat kali kelima.  

Dalam pada itu, Canfield datang ke Johor untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.  

Mengikut pengiraan, salah satu daripada lima pasukan teratas liga berpeluang memenangi Kejohanan AWMRT.

Piala Monsun Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain