HAMPIR sedekad mengabdikan diri dalam sukan bola sepak, kini Zaryatie Zakaria selangkah ke depan dengan menceburi bidang baharu, muay thai. Walaupun skuad bola sepak wanita kebangsaan tidak sehebat skuad lelaki, Zaryatie atau lebih mesra dipanggil Ateng gembira kerana bergelar pemain bola sepak negara. Minatnya dalam bidang sukan sukar diterjemahkan dengan kata-kata, cukup dengan pencapaiannya semenjak di bangku sekolah rendah lagi. Dilahirkan di Ranau, Sabah pada 4 Jun 1981 lalu, Ateng sememangnya aktif dalam arena bola sepak padang sehingga dipanggil menyertai pasukan kebangsaan pada tahun 2005. Pemegang tali pinggang hitam taekwando (2 Dan) mula beraksi pada Sukan Sea di Korat (2007) selepas dua tahun menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. Zaryatie (berkaca mata, tengah) bersama skuad negara ketika menyertai Sukan Sea 2013. "Di Malaysia bola sepak wanita kurang mendapat perhatian dan sambutan berbanding negara-negara lain. "Ini kerana kurangnya pendedahan awal di peringkat rendah dan dalam masa sama sokongan ibu bapa juga amat kurang. "Mungkin bagi sesetengah ibu bapa tidak suka melihat anak-anak mereka bermain bola sepak yang kelihatan agak ganas. "Situasi ini berbeza dengan negara-negara luar lain yang mana ibu bapa sendiri yang menghantar anak-anak mereka ke padang bola malah ada yang sanggup memasukkan mereka ke akademi bola sepak. "Bagi saya, sukan bola sepak ini sesuatu yang bagus bukan sahaja untuk kecergasan tetapi dari situ kita boleh mengenali dengan ramai orang," jelasnya yang kini bertugas sebagai staf di Kompleks Sukan Ranau di tempat kelahirannya. Jelas Ateng, kali terakhir dia menyarung jersi negara ialah pada aksi Sukan Sea 2013 di Myanmar yang menyaksikan pasukan Malaysia mara ke separuh akhir. "Selepas tamat latihan negara, saya mengambil keputusan kembali ke Sabah dan menyertai muay thai dan kini bersama dengan Kelab Akinabalu Rajawongse. "Saya akui acara ini jauh berbeza dengan sukan bola sepak kerana ia acara individu dan paling penting kekuatan mental selain daripada tahap kecergasan. "Acara muay thai kini mendapat sambutan lebih-lebih lagi bagi golongan wanita yang boleh menjadikannya sebagai senjata mempertahankan diri," jelas pemegang Diploma Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini. Menurut anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini, pada mulanya dia menyertai acara muay thai ini untuk mengisi masa lapang. "Selepas beberapa kali mengikuti latihan saya terus 'jatuh cinta, dan sejak itu saya mencuba nasib menyertai perlawanan tempatan dalam kategori 48 kilogram. "Pertama kali menyertai perlawanan saya tewas, namun tidak mematahkan semangat saya untuk terus perbaiki teknik yang betul. "Setakat ini saya mencatat rekod 3 kalah satu menang dan ia dianggap satu permulaan yang baik. "Dengan tunjuk ajar jurulatih kelab ini, saya yakin suatu hari nanti saya mampu beraksi di tahap profesional," tambahnya. Sementara itu, Ateng memberitahu, walaupun sibuk dengan aktiviti baharu ini, dia tidak melupakan acara bola. "Selain bola padang dan muay thai saya juga aktif bermain futsal dan tahun ini saya berpeluang menyertai pasukan Kuala Lumpur bagi menghadapi saingan Liga Futsal Kebangsaan bermula 12 Februari ini. "Saya berulang alik dari Sabah ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan bersama pasukan futsal KL dan setakat ini semuanya berjalan lancar," tambahnya. Profil Nama penuh: Zaryatie Zakaria Tarikh lahir: 4 Jun 1981 Asal: Ranau, Sabah No jersi: 16 Posisi: Penyerang Hobi: Melancong Acara sukan: Taekwando, bola sepak, tinju, futsal dan muay thai