suria

Badminton: Kim Hock Buru Pemain Muda Berbakat

Kim Hock melancarkan Program Pembangunan Bawah 19 Tahun di Kelab Badminton Klang United.Foto: BRUCE LEE/The Star

KLANG: Musim pertama Liga Kopiko Purple (KPL) sudah berakhir, namun bekas pemenang pingat perak sukan Olimpik dalam acara beregu, Yap Kim Hock masih belum mengenal erti penat.

Dengan semangat kental badminton yang ada dalam dirinya, Kim Hock meneruskan usahanya dalam mencari bakat-bakat baharu dengan melancarkan Program Pembangunan Bawah 19 Tahun (B-19) di bawah pengurusan Kelab Badminton Klang United (KUBC) miliknya.

Biarpun kelabnya hanya berada di kedudukan kesembilan dalam aksi KPL baru-baru ini, Kim Hock tetap yakin dengan pemain-pemain mudanya itu.

Di bawah program pembangunan itu, Kim Hock berharap dapat mengenal pasti lebih ramai pemain untuk mewakili Selangor serta negara.

Kim Hock turut bertindak sebagai jurulatih di samping seorang lagi bekas pemain perseorangan antarabangsa, Lim Chen Wet.

Sehingga kini, terdapat sembilan pemain muda di bawah program ini, iaitu Leong Jun Hao, Ng Jin Ping, Roslyn Tan Hui Lyn, Reuben Tan Kiang Weng, Chin Wai Kin, Ooi Zi Heng, Mohd Nuraidil Adha Azman, Yap Rui Chen dan Yap Yee .

Kim Hock yang pernah menjadi ketua jurulatih negara pada tahun 2004-2008 berkata, dia kecewa dengan kekurangan pemain-pemain muda.

"Saya mengkaji punca masalah ini. Kebanyakan pemain muda berputus asa untuk bermain badminton selepas mereka tidak terpilih memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

"SSBJ hanya menyediakan sepuluh tempat sahaja setiap kali pengambilan pelajar dibuka. Apa akan jadi kepada pemain-pemain berbakat lain?

"Ia tidak bermakna mereka tidak bagus jika tidak terpilih ke SSBJ.

"Dengan program B-19 Tahun ini, kami berharap dapat memberi peluang kepada pemain-pemain muda berbakat dan merebut peluang ini untuk berada dalam pasukan negara.

"Objektif kami adalah untuk membantu mereka dari aksi peringkat daerah hinggalah ke peringkat negeri. Dan berharap mereka akan mewakili negara.

"Semua pemain ini ditanggung sepenuh oleh kelab," jelas Kim Hock yang telah menerima tajaan RM30,000 untuk program ini daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Lee Kuan Yew.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain