KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu(PBSNT) akan menguji pemain dari Korea Selatan pada Selasa ini bagi mengisi kuota pemain import Asia menjelang jendela perpindahan pemain April nanti. Setiausaha PBSNT Arpin Draman berkata pihaknya sedang mencari pemain import dari Asia setelah mereka kehilangan pemain import dari Lubnan, Hassan Moni Chaito. Beliau memberitahu Bernama pada Khamis, setakat ini, pihaknya belum memperoleh sebarang maklumat lengkap mengenai pemain berusia 31 tahun yang akan dibawa oleh ejen ke Terengganu itu. Katanya sebelum ini persatuan itu merancang untuk menguji pemain dari Thailand tetapi malangnya pemain berkenaan tidak dilepaskan oleh sebuah kelab dari negara Gajah Putih itu. Dalam perkembangan sama, Arpin berkata Terengganu telah didatangi seorang pemain import kelahiran Brazil yang memegang kerakyatan Timor Leste, Jaime Celestino Dias Braganca. Beliau berkata pemain itu tiba di Kuala Terengganu dua hari lepas dan telah turun menjalani latihan bersama Pasukan Penyu mulai Rabu, namun setakat ini belum ada keputusan mengenai pengambilan pemain itu.