KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa acara keirin kategori lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2015 di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis pada Khamis. Pelumba berusia 27 tahun itu menerima saingan sengit daripada penyandang juara, Francois Pervis dari Perancis dan Edward Dawkins dari New Zealand, ketika menuju ke garisan penamat. Acara itu dimenangi Pervis dan pingat perak menjadi milik Dawkins. Pada peringkat kelayakan, Mohd Azizulhasni memenangi pusingan ketiga untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Walaupun menamatkan saingan di tempat ketiga dalam saingan kedua peringkat separuh akhir di belakang Dawkins dan Pervis, Mohd Azizulhasni berjaya merealisasikan impiannya untuk beraksi di peringkat akhir. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok terbaik peringkat kelayakan dan pusingan 'repechage'. Secara keseluruhan, Josiah menamatkan saingan di tempat ke-21 bersama-sama Francesco Ceci (Itali), Kazunari Watanabe (Jepun) dan Matthew Baranoski (Amerika Syarikat). "Hari yang menakjubkan buat pasukan kami. Rakan sepasukan, Azizul, memecut umpama gladiator hari ini dan menamatkannya dengan pingat gangsa. Saya kagum dengan beliau dan rasa bangga dapat menjadi sahabat dan rakan sepasukannya," katanya dalam laman sosial Facebook. Dalam pada itu, Josiah mengumumkan persaraannya selepas beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2015 itu. "Saya pula mengakhiri kerjaya saya dengan kejayaan beraksi dalam keirin. Keputusan saya hari ini mungkin tidaklah hebat, tetapi saya melakukannya dengan penuh rasa bangga. "Saya diberi banyak peluang untuk menggilap bakat dan kini, peluang itu perlu direbut oleh rakyat Malaysia yang lain untuk terus membanggakan kita. Ribuan terima kasih kepada anda semua yang telah menyokong kami sejak sekian lama! Saya berasa amat bangga dapat mewakili Malaysia sejak 15 tahun lepas! Secara rasminya, saya kini bersara!," katanya.