KUALA LUMPUR: Pemain Australia, Casey Dellacqua, berharap dapat memberikan impak positif dalam penyertaan ketiganya pada kejohanan tenis Terbuka BMW Malaysia, yang akan berlangsung di Kelab Golf Diraja Selangor di sini dari 2 hingga 8 Mac ini. Pemain ke-35 dunia itu berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan dengan memenangi sekurang-kurangnya satu kejuaraan Persatuan Tenis Wanita (WTA) musim ini dan meletakkan dirinya dalam kelompok 10 pemain wanita terbaik dunia. "Tahun lepas, saya berjaya mara ke suku akhir pada kejohanan berprestij Indian Wells (di Amerika Syarikat) dan beberapa kemunculan di peringkat separuh akhir...tetapi saya mengimpikan gelaran kejuaraan," kata Dellacqua yang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-30 minggu lepas. Sambil menyatakan beliau telah membuktikan kemampuannya untuk bersaing pada tahun lepas, pemain itu mengakui harus meningkatkan lagi prestasinya. "Saya mampu berada dalam kelompok 10 terbaik," kata Dellacqua, yang bertanding pada kejohanan itu pada 2012 dan 2013, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur, Carbon Sport Sdn Bhd, Ahad. Dellacqua mencapai tahap membanggakan pada dua kejohanan Grand Slam tahun lepas dengan mara ke pusingan keempat pada Terbuka Australia dan Terbuka Amerika Syarikat dan separuh akhir Aegon Classic dan suku akhir Pan Pacific. Pencapaian itu membolehkan beliau menempatkan diri dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia pada 2014, yang meningkat daripada kedudukan ke-100 pada tahun sebelumnya. Namun, beliau masih belum menemui rentak yang serasi dengannya selepas tewas pada pusingan awal di tiga kejohanan - Terbuka Australia, Terbuka Hobart dan Terbuka Dubai. Terbuka BMW Malaysia 2015, yang diiktiraf oleh WTA dan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$250,000 (RM$911,750).