MANCHESTER: Bekas penjaga gol Manchester United, Peter Schmeichel mahu pasukan itu menawarkan perjanjian baharu selama lima tahun kepada David De Gea bagi menamatkan spekulasi mengenai kerjaya pemain itu. Legenda Manchester United itu menganggap bekas pasukannya itu tidak seharusnya melepaskan De Gea yang diangkat sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia selepas berada bawah bimbingan pengurus United, Louis van Gaal. “Ia sangat penting buat kelab untuk mengekalkan pemain terbaik mereka dengan menawarkan kontrak baharu dengan lebih cepat kerana dapat meningkatkan keyakinan pemain. “Jika De Gea menandatangani kontrak baharu, saya yakin kesemua peminat United lega kerana dia sebenarnya menyayangi United," katanya Schmeichel. Kontrak bintang Sepanyol itu akan tamat akhir musim depan dan ketika ini pemain itu diintai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid yang yakin pemain berusia 24 tahun itu paling sesuai untuk menggantikan Iker Casillas. Bagaimanapun, The Red Devils juga bersedia menjadikan De Gea sebagai penjaga gol yang menerima bayaran termahal di dunia. Ejen De Gea, Jorge Mendes mengesahkan rundingan masih berjalan.