KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail meletakkan harapan tinggi kepada Pengarah Teknikal baharu BAM, Morten Frost Hansen bagi mengembalikan semula kegemilangan badminton negara. Ahmad Shapawi berkata pelantikan jurulatih dari Denmark itu hasil persetujuan bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Morten Frost yang akan memulakan tugasan rasminya Isnin ini, mempunyai kontrak bersama MSN sehingga 31 Disember 2020. "Dari segi KPI (Petunjuk Prestasi Utama), kami akan berbincang selepas bertemu dengan beliau (Morten Frost). Sudah semestinya saya tidak sabar untuk bertemu dan berbincang tentang perancangan beliau. "Beliau pernah berada di sini dan saya pernah bekerja dengannya, saya berharap dengan kerjasama semua pihak, struktur program badminton akan berlaku satu perubahan yang kita harapkan terutamanya dalam meningkatkan prestasi sukan badminton negara," katanya. Ahmad Shapawi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelan tindakan bengkel Sukan Fasa 1 2015 di Pusat Kecemerlangan Sukan Kampung Pandan di sini, Jumaat. Bengkel yang diadakan selama tiga hari itu membincangkan transformasi sukan negara yang melibatkan sembilan persatuan sukan iaitu angkat berat, badminton, olahraga, akuatik, memanah, skuasy, menembak, pelayaran dan berbasikal. "Menteri (Khairy) telah menyebut tentang penstrukturan semula sukan berprestasi tinggi. Terdapat dua kaedah iaitu pengurusan prestasi yang dikenali sebagai program podium dan pengurusan program sedia ada yang pernah dilaksanakan sebelum ini," katanya. Beliau berkata program podium ialah platform atlet berprestasi tinggi bagi meraih kejayaan lebih besar dalam temasya sukan yang lebih kompetetif. "Contoh, kita dapat melahirkan atlet lebih baik daripada penyumbang pingat emas di Sukan SEA, jadi program podium itu akan membantu atlet-atlet tersebut lebih cemerlang di peringkat lebih tinggi," katanya. Ahmad Shapawi berkata Institut Sukan Negara (ISN) bertanggungjawab memilih atlet berprestasi tinggi untuk diserapkan dalam program podium itu. Katanya elemen lain yang perlu diberi penekanan adalah program pembangunan atlet setiap peringkat, program pembangunan kejurulatihan, program pembangunan pertandingan kompetetif setiap peringkat, program pembangunan infrastruktur dan program pembangunan organisasi. Turut teribat dalam program tersebut ialah Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Pendidikan dan Majlis Sukan Negeri.