JUARA dunia empat kali Formula Satu (F1) Sebastian Vettel berharap Ferrari boleh menjadi musuh ketat kepada pasukan Mercedes musim ini. Vettel yang berhijrah ke pasukan Ferrari dari Red Bull penghujung musim lalu berkata, ia memerlukan masa untuk menjadikan harapan itu menjadi kenyataan. “Ia bergantung kepada kekuatan dan dominasi Mercedes apabila musim baharu ini bermula. “Dan ia dijangkakan lebih hebat. Namun hakikatnya mereka pastinya akan berasa tertekan. “Saya berharap kami berada di kelompok terbaik dan mengukuhkan kedudukan untuk tempoh panjang musim ini sekaligus menjadi pencabar mereka,” katanya. Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg djangka sekali lagi akan mendominasikan perlumbaan tahun ini. Pemandu Britain itu mencatat 11 kemenangan musim lalu, manakala Rosberg merekodkan lima kemenangan. Selain itu, pemandu McLaren, Fernando Alondo tidak dibenarkan berlumba pada aksi pembukaan F1 di Australia minggu depan di atas arahan doktor. Alonso masih lagi berada dalam pemantauan doktor selepas terlibat dengan kemalangan ketika sesi ujian pra musim di Barcelona bulan lalu.