NEW DELHI: Malaysia membelasah Singapura 5-0 pada aksi terakhir pusingan pertama peringkat Pusingan Kedua Liga Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Stadium Nasional Major Dhyan Chand pada Selasa. Dengan kemenangan itu, Malaysia menduduki tempat teratas Kumpulan B dan akan menentang Ghana pada pusingan kedua kejohanan tersebut. ZZ Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang perlawanan berkenaan, manakala Singapura pula lebih banyak bertahan di kawasan sendiri. Skuad Malaysia menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan menambah tiga lagi selepas permainan bersambung pada babak kedua. Fazilla Sylvester Silin mencatat hatrik, manakala dua gol lagi dijaringkan Rabiatul Adawiyah Mohamad dan Nurul Nabiha Mansur. Sebelum ini, Fazilla menjaringkan satu gol, masing-masing ketika menentang Kazakhstan dan Rusia. Jurulatih kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata walaupun mengharapkan pasukannya menjaringkan lebih banyak gol, beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya itu dengan menduduki tangga teratas kumpulan. Mengenai pertemuan menentang Ghana Khamis ini, Mohd Nasihin yakin anak buahnya tidak menghadapi masalah untuk mara ke separuh akhir. Diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan di belakang tuan rumah India, Malaysia berkemungkinan berdepan Poland pada peringkat separuh akhir. Malaysia beraksi dalam Kumpulan B bersama-sama Rusia, Kazakhstan dan Singapura manakala India, Poland, Ghana dan Thailand dalam Kumpulan A. -BERNAMA