SUNDERLAND dijangka akan memperkenalkan Dick Advocaat sebagai jurulatih baharu pasukan itu pada Selasa, selepas media Belanda mendakwa kontrak mengenai pelantikan itu telah ditandatangani. Jurulatih kelahiran Belanda berusia 67 tahun itu didakwa telah mempersetujui tawaran kontrak termasuk memastikan Sunderland dapat kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada musim depan. Advocaat bakal mengambil alih jawatan Gus Poyet yang dipecat pada Isnin selepas skuad bimbingannya tewas 4-0 kepada Aston Villa baru-baru ini. Selain itu media turut mendedahkan bahawa, Advocaat akan memulakan latihan bersama Sunderland pada pagi Rabu sebagai persiapan menempuh perlawanan terdekat. "Saya masih di hotel yang gelap, tetapi bakal mula bekerja di stadium yang dipenuhi lampu," kata Advocaat kepada sebuah akhbar sukan.