NAMA Saiful Izman Ahmad Zamani dengan dunia permotoran tanah air sememangnya tidak boleh dipisahkan lagi.Sebagai anak kepada bekas pelumba handalan negara, Ahmad Zamani Baharudin, perlumbaan motosikal sudah menjadi darah dagingnya. | Malah Saiful Izman berusaha untuk membuktikan bahawa namanya menjadi sebutan bukan kerana pencapaian bapanya, tetapi di atas kerja keras sendiri sekaligus meneruskan legasi keluarganya. Beraksi untuk musim kedua dalam saingan kelas Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Saiful Izman sudah mula mewarisi kehandalan yang dimiliki oleh adik beradik pelumba dari keluarga Baharudin termasuk bapanya Ahmad Zamani, Ahmad Fuad dan Ahmad Nashrul apabila muncul juara pada saingan pembukaan musim 2015 di Temerloh, Pahang, Ahad lalu. Pada musim lalu, Saiful sudah menunjukkan kemahirannya tersendiri apabila tiga kali muncul sebagai naib juara, namun pada musim ini dia semakin mempamerkan peningkatan dengan meraih gelaran juara seawal pusingan pertama lagi. Walaupun catatan masa ketika sesilatihan kurang menyerlah dan sentiasa ketinggalan di belakang pelumba Kozi Yam Honda Racing, Mohd Harith Farhan Baharudin, namun Saiful Izman tampil berbeza pada saingan perlumbaan akhir. Dengan gaya tunggangan penuh agresif, Saiful Izman berjaya mengatasi strategi bertahan yang ditunjukkan Harith Farhan sekaligus berjaya meraih kemenangan pertama dalam karier perlumbaannya. "Kebanyakan pelumba seringkali berterima kasih kerana menerima sokongan dan dorongan daripada keluarga mereka namun agak berbeza dengan saya. "Saya memang lahir di dalam keluarga pelumba, ayah saya dan pakcik saya terlibat secara langsung dengan dunia perlumbaan dan juga karier saya hari ini. "Mereka tidak pernah memaksa saya untuk menjadi pelumba atau melibatkan diri dalam perlumbaan profesional seperti ini. Namun topik perbincangan mereka tidak pernah lari dari dunia perlumbaan. Jika menonton televisyen sekalipun, mereka pasti menonton siaran berkaitan perlumbaan," jelas Saiful Izman. Selepas beraksi dalam saingan satu pengeluar pada tahun 2013, Saiful mula melangkah ke kelas terbuka pada musim 2014 dengan pasukan Felda PB AFB Tech Racing yang diuruskan oleh pakciknya yang juga juara tiga kali kelas perdana CP130 / Expert, Ahmad Fuad. Pada musim ini, pasukan yang menerima tajaan dan sokongan dari Felda ini dibahagi kepada dua dengan pasukan Felda PB Racing yang dikendalikan oleh Ahmad Zamani dan Ahmad Nashrul di dalam kelas CP115 manakana pasukan Felda AFB Tech Caldinal Racing dikendali oleh Ahmad Fuad dan memberi tumpuan kepada pelumba-pelumba muda di dalam kategori Wira. Masih dikategorikan baharu dalam dunia perlumbaan, Saiful Izman akui perjalanannya masih jauh dalam dunia sukan permotoran dua roda ini. "Ayah dan pakcik saya memiliki reputasi yang cukup besar dan mereka merupakan antara pelumba handalan khususnya di rantau Asia. "Dengan sokongan dan latihan dari kedua-duanya, saya berharap setidak-tidaknya mampu menyamai apa yang mereka telah lakukan," tambahnya.