LIONEL Messi mempamerkan kepintaran dan kelicikannya sebagai perancang apabila berjaya membantu Barcelona menewaskan Manchester City 1-0 pada perlawanan kedua, peringkat 16 terakhir di Nou Camp untuk layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Barcelona menang dengan agregat 3 -1. Pemain Argentina itu dengan tenang mencorak gerakan mempesona apabila kakinya menggelecek bola dari untuk memperdaya lawannya dari sebelah kanan luar petak penalti sebelum meleret bola terus kepada rakannya Ivan Rakitic yang sudah menunggu di sebelah kiri depan gawang lawan. Gol tunggal Barcelona oleh Rakitic hadir pada minit ke-31. Pada lewat perlawanan, City nyata tidak bernasib baik apabila peluang mendapat gol sagu hati melalui sepakan penalti yang dihadiahkan pada minit ke-78 buat pertama kali gagal disempurnakan oleh Sergio Aguero.