suria

Import Baru Pastikan JDT Julang Piala Liga Super

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor bersama pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) Patricio Rodriguez dari Argentina pada sesi memperkenalkan pemain baharu JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin

JOHOR BAHARU: Pemain muda Argentina, Patricio Rodriguez dijangka mengisi slot kesebelasan utama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Rodriguez, yang dipinjamkan daripada kelab Santos FC dari Brazil, menggantikan rakan senegara Jorge Pereyra Diaz yang akan menyertai sebuah kelab di Brazil.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau sangat kagum dengan corak permainan yang dimiliki oleh Rodriguez dan telah mengikuti perkembangan pemain itu semenjak tahun 2013 ketika bermain bersama-sama dengan bintang dunia Brazil, Neymar.

"Ketika itu, kami tidak mampu mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun itu kerana kekangan kewangan dan pada masa sama perlu berebut dengan pasukan lain dari Eropah yang menagih khidmat pemain ini.

"Sekarang kami bangga kerana dia merupakan aset kepada JDT," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak dan memperkenalkan pemain itu di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, di sini, Jumaat.

Rodriguez dipinjamkan kepada JDT sehingga November ini dan JDT berharap dapat membeli sepenuhnya pemain itu selepas tamat tempoh pinjaman.

Tunku Ismail turut membayangkan akan menamatkan kontrak seorang pemain import JDT yang sedia ada dan menggantikannya dengan seorang pemain import baharu yang bakal tiba di sini pada 26 atau 27 Mac ini.

Tanpa menyebut nama pemain itu, katanya, belia akan berbincang dengan ketua jurulatih Bojan Hodak untuk melihat kesesuaian pemain import yang harus dilepaskan demi mencipta 'sentuhan' kepada JDT.

Menurutnya Hodak akan diberi kebebasan dan kepercayaan untuk memilih pemain bagi memperbaiki masalah penyudahan dalam perlawanan.

Tunku Ismail berkata pemain import gantian itu dijangka dapat diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 4 April ini.

Sementara itu, Rodriguez, berkata beliau berharap dapat membantu JDT menjulang trofi Liga Super musim ini.

"Sudah pasti harapan peminat terhadap saya adalah tinggi selepas mempunyai pengalaman beraksi bersama-sama dengan kelab terkemuka seperti Santos FC.

"Bagaimanapun saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu JDT memenangi gelaran Liga Super musim ini," katanya.

Rodriguez memulakan karier profesionalnya bersama kelab Argentina, Incdependiente pada 2008 hingga 2012 sebelum menyertai Santos FC dengan yuran perpindahan bernilai 1.6 juta (RM6.38 juta).

Selepas lima perlawanan, JDT menduduki tangga kelima carta Liga Super dengan lapan mata, hasil dua kemenangan, dua seri dan satu kalah.

Felda United menguasai persada liga dengan 11 mata diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sembilan mata.

Liga Super, JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain