KUALA LUMPUR: Pasukan tenis Malaysia mensasarkan untuk layak ke separuh akhir perlawanan Piala Davis Kumpulan III Zon Asia/Oceania 2015 yang akan membuka tirainya pada Rabu. Jurulatih merangkap kapten pasukan, Deen Heshaam Tan Abdullah mengakui sasaran kali ini adalah realistik berdasarkan prestasi semasa pemain negara serta undian kumpulan yang berlangsung pada Selasa. “Pemain kita sudah bersedia untuk perlawanan ini dan mereka bekerja keras ketika sesi latihan, termasuk mengaplikasikan Sains Sukan dengan bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). “Sebahagian pemain yang berada di luar negara sudah kembali ke tanah air dan turut berlatih bersama-sama dengan pemain lain. “Tidak dinafikan perlawanan kali ini merupakan satu kelebihan kepada kita kerana bermain di tempat sendiri, malah gelanggang juga memberi lantunan bola yang baik,” jelasnya kepada media selepas majlis undian kumpulan pada Selasa. Jelas Deen Heshaam, dia yakin sasaran kali ini mampu dicapai kerana keadaan pemain sudah berbeza berbanding dengan sebelum ini. “Dulu kita beraksi dengan pemain-pemain junior, tetapi tahun ini mereka sudah matang dan pernah bersaing dengan pasukan-pasukan yang akan beraksi nanti. “Malaysia antara pasukan pilihan termasuk Vietnam, Hong Kong dan Syria. Namun kami tetap tidak memandang rendah kepada pasukan lain seperti Arab Saudi, Qatar, Kemboja dan Turkmenistan ,” jelasnya. Mengena pemain pertama yang akan beraksi pada nanti, Deen Heshaam menjelaskan pemilihan akan dibuat sebelum perlawanan nanti. “Kita ada empat pemain Syed Mohd Agil Syed Naguib (ranking ke-1597 dunia), Mohd Assri Merzuki (ranking ke-1660), Muhammad Ashaari Zainal Abidin dan Ariez Elyaas Deen Heshaam. “Satu aksi beregu dan dua acara perseorangan. Secara asasnya saya akan cuba menggunakan semua pemain untuk kejohanan ini,” tambahnya. Pasukan Malaysia diundi berada dalam Kumpulan A bersama Hong Kong, Arab Saudi, dan Qatar, manakala Kumpulan B pula merangkumi Syria, Kemboja, Vietnam dan Turkmenistan. Perlawanan akan berlangsung secara ‘round-robin’ dan pasukan yang bergelar juara akan bertemu dengan naib juara setiap kumpulan. (Juara A bertemu naib juara B, juara B bertemu naib juara A). Bagi pasukan yang menang pada pusingan kedua itu akan mara ke separuh akhir, sekaligus layak menyetai Piala Davis Kumpulan II Zon Asia/Oceania 2016. Perlawanan akan berlangsung Di Kompleks Tenis Nasional Jalan Duta bermula pukul 10 pagi Rabu.