PENJAGA gol Southampton, Fraser Forster akan terlepas baki perlawanan musim ini akibat kecederaan lutut yang dialaminya hingga terpaksa menjalani pembedahan. Forster, 27, terpaksa diusung keluar padang setelah berlanggar dengan pemain Burnley, Sam Vokes pada perlawanan yang berlangsung di Stadium St. Mary, hujung minggu lalu. Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan menunjukkan kecederaan lutut kirinya dianggarkan mengambil masa hampir setahun untuk pulih sepenuhnya. Berikutan kecederaan itu, penjaga gol veteran Southampton, Kelvin Davis akan menggalas tugas menjaga gawang pasukannya sepanjang musim ini yang berbaki lapan perlawanan untuk meneruskan perjuangan mereka bagi merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim hadapan. "Fraser merupakan penjaga gol yang hebat dan telah menjadi sebahagian besar kepada kejayaan kami musim ini. "Situasi ini amat mencabar tetapi kami harap beliau akan cepat pulih dan saya pasti dia akan menjadi pemain yang penting untuk kelab dan negara apabila pulih sepenuhnya," kata Pengarah Eksekutif Southampton, Les Reed. Kata Reed lagi, pasukan percaya Kelvin akan beraksi cemerlang selepas menggantikan Fraser dan masih mampu menunjukkan prestasi terbaik berdasarkan pengalaman.