suria

Kelayakan AFC B23: Skuad Razip Kecundang Di Tangan Vietnam

Pemain negara Muhammad Farhan Roslan diasak pemain Vietnam pada perlawanan kelayakan Kejohanan AFC B-23 2016 di Stadium Shah Alam pada Jumaat.
KUALA LUMPUR: Impian skuad negara untuk meraih mata pertama pada aksi Kelayakan Piala AFC Bawah 23 Tahun 2016 musnah apabila tewas 1-2 kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan I di Stadium Shah Alam pada Jumaat.

Pun begitu skuad bimbingan jurulatih Razip Ismail ini berjaya membuka jaringan awal apabila kapten negara, Nazirul Naim Che Hashim menyempurnakan  sepakan percuma yang menarik dari jarak 34 meter menewaskan penjaga gol Vietnam, Nouyen Hoai Anh pada minit ke-33. 

Namun kegembiraan skuad negara meraih jaringan awal tidak berpanjangan apabila rembatan kencang V.H Toan pada minit ke-38 di luar kotak penalti membuatkan barisan pertahanan negara terkedu.

Tersentak dengan gol penyamaan itu, aksi pemain-pemain negara mula kelihatan goyang malah gagal menyekat kepantasan pihak lawan.

Enam minit selepas itu, pasukan kendalian jurulatih Jepun Toshiya Miura menambah duka skuad negara apabila penyerang Nguyen Cong Phuong melakukan gerakan pantas ke arah gol tanpa kelibat barisan pemain pertahanan negara yang mengawasinya sebelum tamat babak pertama.

Bersambung ke babak kedua permainan, skuad negara semakin tertekan dengan serba tidak menjadi malah tidak nampak semangat atau keinginan untuk menyerang mencari gol.

Masalah komunikasi dan keserasian di antara pemain-pemain negara membuatkan corak permainan semakin longgar sekaligus peluang itu digunakan pihak lawan untuk terus melakukan serangan.

Bagaimanapun kedua-dua pasukan gagal menambah sebarang jaringan sehingga empat minit masa tambahan sebelum pengadil dari Australia Christopher Beath meniup wisel penamat.

Kekalahan ini pastinya menyukarkan skuad negara untuk menempatkan diri dalam dua pasukan terbaik kumpulan memandangkan kini pasukan Jepun mendahului kedudukan selepas kemenangan besar 7-0 ke atas Macau ketika aksi pembukaan kumpulan pada petang Jumaat.

Skuad negara  bakal berdepan dengan pasukan Macau pada aksi kedua Ahad ini dan sudah tentu peminat-peminat bola sepak tanah air mengharapkan permainan yang lebih bertenaga dihidangkan.

Manakala pada 31 Mac ini aksi lebih sukar dijangka apabila bertemu dengan Jepun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain