suria

GP Malaysia: Hamilton Tempah Petak Pertama Perlumbaan

Lewis Hamilton (tengah) melambai kepada peminatnya selepas berjaya meraih petak utama untuk perlumbaan pada Ahad di Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2015 di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu. Manakala Sebastian Vettel (kanan) akan bermula di petak kedua dan rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg (kiri) di petak ketiga.
 Foto BERNAMA

SEPANG: Pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton terus mempamerkan kepantasan jenteranya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan mengungguli perlumbaan pusingan kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia Petronas pada Sabtu.

Biarpun berdepan dengan litar basah selepas hujan lebat melanda yang memaksa perlumbaan dihentikan selama 35 minit, Hamilton berjaya merekodkan masa terpantas 1:49.834 saat meninggalkan 00.074s pelumba Ferrari, Sebastian Vettel di tempat kedua diikuti rakan sepasukannya, Nico Rosberg yang mencatat masa 1:50.299s. 

Pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo menamatkan saingan di tempat keempat (1:51.541s) meninggalkan rakan sepasukannya, Daniil Kvyat (1:51.951s).

Dengan kemenangan ini Hamilton bakal memulakan perlumbaan di petak pertama pada Ahad, yang menyaksikan dia turut berada di kedudukan ini pada aksi tahun lalu di sini. 

“Kamu tidak mahu terlalu mengambil risiko ketika litar basah, tetapi kamu sedar untuk melakukan yang terbaik dan saya bertuah kerana dapat menguasai setiap lap dengan baik,” jelas Hamilton yang turut meraih petak pertama dan juara pada Grand Prix di Australia dua minggu lalu.

Sementara itu, Vettel berpuas hati dengan persembahannya pada aksi kelayakan ini.

“Apabila hujan turun, akan ada banyak peluang untuk melakukan sesuatu yang berlainan. Kami sedar pasukan Mercedes amat sukar dihalang dan sebab itulah semua pelumba bekerja keras dan akan lihat apa yang boleh kami lakukan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Rosberg sedikit kecewa kerana gagal bersaingan dengan rakan sepasukannya di barisan hadapan.

“Saya tidak berpuas hati dengan pemanduan hari ini. Kedudukan ketiga bukanlah yang terbaik dan saya selalu dikejutkan dengan keputusan di luar jangkaan,” jelasnya.

Kedudukan petak pemandu pada perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia, Ahad:

1. Lewis Hamilton (Mercedes) 

2. Sebastian Vettel (Ferrari) 

3. Nico Rosberg (Mercedes) 

4. Daniel Ricciardo (Red Bull) 

5. Daniil Kvyat (Red Bull) 

6. Max Verstappen (Toro Rosso) 

7. Felipe Massa (Williams) 

8. Romain Grosjean (Lotus) 

9. Valtteri Bottas (Williams) 

10. Marcus Ericsson (Sauber)   

11. Kimi Raikkonen (Ferrari) 

12. Pastor Maldonado (Lotus) 

13. Nico Hulkenburg (Force India) 

14. Sergio Perez (Force India) 

15. Carlos Sainz (Toro Rosso)   

16. Felipe Nasr (Sauber) 

17. Jenson Button (McLaren) 

18. Fernando Alonso (McLaren) 

19. Roberto Merhi (Marussia) 

20. Will Stevens (Marussia) 

Artikel Lain