SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin perlu memperbaiki segera prestasi dalam perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan MotoGP Dunia di Litar Losail, Qatar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. Pelumba pasukan Drive M7 SIC itu gagal meraih kedudukan petak perlumbaan yang baik selepas mencatat masa kelayakan yang agak mengecewakan ketika sesi kelayakan pada Sabtu. Muhammad Zulfahmi mencatat masa dua minit dan 08.040 saat untuk berada di kedudukan ke-28, sementara rakan sepasukannya, Jakub Kornfeil dari Republik Czech meraih petak ke-26 dengan masa 2:07.602s. "Saya sebenarnya enggan komen lagi mengenai prestasi kedua-dua pelumba (terutamanya Zulfahmi). Saya rasa mereka sudah tahu perasaan saya ketika ini. "Saya amat kecewa dan malu dengan prestasi pasukan kita. Saya tidak sangka catatan masa kelayakan memang teruk," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia, Ahad. Menurut Razlan, pengurus pasukan Drive M7 SIC, Johan Stigefelt telah menghantar laporan mengenai sesi kelayakan itu kepadanya. "Mereka sudah menghantar laporan kepada saya tetapi saya belum sempat membacanya dengan teliti kerana kesibukan perlumbaan F1 di sini," katanya. Beliau terus berharap kedua-dua pelumba dapat mempamerkan prestasi yang membanggakan pada saingan sulung pasukan itu musim ini. Perlumbaan kelas Moto3 itu berlangsung pada pukul 11 malam waktu Malaysia hari ini.