suria

Perseorangan Lelaki Mula Rebut Slot Ke Undian Utama

KUALA LUMPUR: Sama seperti di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England baru-baru ini, skuad badminton negara sekali lagi tampil tanpa kelibat perseorangan lelaki dalam undian utama pada Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan membuka tirai, Selasa.

Janggal, tapi itu adalah realiti apabila tiada pemain perseorangan lelaki yang layak berada dalam undian utama di pentas sendiri selepas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berikutan gagal ujian doping pada Kejohanan Dunia, Ogos tahun lepas.

Tanpa wakil Malaysia, kejohanan Super Siri Premier ini sudah pasti akan dikuasai jaguh-jaguh utama lain seperti Lin Dan dan Chen Long dari China serta Jan O Jorgensen dari Denmark.

Nama-nama ini yang telah pun berada dalam undian utama, antara yang disebut bakal beraksi di pentas akhir perseorangan lelaki.

Bagi skuad badminton negara, tugas berat menanti tiga pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan tiga pemain bebas yang mahu menempah slot ke undian utama di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Chong Wei Feng, Liew Daren dan Goh Soon Huat seharusnya melepasi ranjau di pusingan kelayakan sebelum mengisi slot undian utama, begitu juga dengan bekas juara remaja dunia Zulfadli Zulkifli, Mohamad Arif Abdul Latiff dan Chiang Jiann Shiarng yang tampil sebagai pemain bebas.

Zulfadli, 21, mahu melihat bukan sahaja diri sendiri tetapi juga rakan-rakan lain mara ke undian utama walaupun sedar lawan yang bakal ditempur adalah sukar.

Beliau yang terlepas aksi di Seluruh England akibat masalah kesihatan berkata sudah bersedia bagi menghadapi lawannya sekali gus memperbaiki ranking dunia serta mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016.

"Memang mustahil untuk semua mara ke undian utama kerana Daren akan bertemu Arif di pusingan kelayakan kedua. Tapi saya amat berharap mereka akan menunjukkan prestasi terbaik untuk diri sendiri," katanya.

Zulfadli akan memulakan kempen pusingan kelayakan menentang pemain Amerika Syarikat, Sattawat Pongnairat.

Sementara itu, Daren pula yakin mampu meneruskan perjuangan ke undian utama walaupun sedar lawannya Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia adalah pemain yang tidak kurang hebatnya.

Beliau yang masih segar dengan kejayaan di Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland 2015, bagaimanapun tidak mahu meletakkan sebarang sasaran awal kerana mahu memberi sepenuh tumpuan kepada pusingan kelayakan terlebih dahulu.

"Kejayaan di Terbuka Poland, walaupun ia kejohanan yang kecil namun secara tidak langsung memberi keyakinan kepada saya untuk beraksi di kejohanan bertaraf siri super premier ini," katanya.

Goh Soon Huat akan berdepan Fikri Ihsandi Hadmadi dari Indonesia, diikuti Chong Wei Feng bertemu pemain Denmark Emil Holst manakala Mohamad Arif akan berdepan rakan senegara Chiang.-- Bernama




Artikel Sebelum

Artikel Lain