suria

Terbuka Malaysia: Pemain Malaysia Kalah Kerana Terkejut

KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia tahun ini menyaksikan buat pertama kalinya wakil perseorangan lelaki dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gagal layak ke pusingan undian utama selepas saingan kelayakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada Selasa.

Sejarah buruk itu turut mengecewakan jurulatih perseorangan lelaki negara, Tey Seu Bock selepas kesemua anak didiknya, Goh Soon Huat, Chong Wei Feng dan Daren Liew tersingkir awal.

"Bagi saya keputusan itu amat mengecewakan. Sekurang-kurangnya salah seorang dapat masuk ‘main draw’ sudah cukup, tapi semuanya tak lepas.

"Selepas ini bahagian jurulatih perseorangan akan jumpa dengan Morten Frost (Pengarah Teknikal BAM) untuk berbincang perkara yang berkaitan," jelasnya kepada media sebaik sahaja berakhirnya perlawanan melibatkan  perseorangan negara.

Dalam pada itu Seu Bock tidak bersetuju dengan alasan pemain-pemainnya yang mengaku mengalami gangguan emosi  sebaik sahaja mengetahui ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek tidak lagi bersama BAM.

"Saya tidak bersetuju dengan alasan itu kerana sebagai pemain profesional, mereka harus memberi fokus kepada perlawanan. Ia adalah masalah jurulatih dan persatuan, bukan pemain.

"Walaupun saya turut berasa sedih dengan ketiadaan Rashid kerana sudah lebih 12 tahun bekerjasama dengannya, tetapi saya perlu tumpukan kepada tugas sendiri.

"Saya tidak pasti alasan sebenar keputusan Rashid untuk tidak menyambung kontrak, mungkin tidak puas hati dengan kontrak, saya tak nak komen.

"Saya sudah menandatangani kontrak baharu dan perlu ikut apa sahaja peraturan yang ditetapkan," jelasnya yang tidak kisah dengan siapa yang akan digandingkan selepas ini.

Sementara itu,  aksi kekalahan pemain-pemain BAM bermula dengan Goh Soon Huat yang tewas dalam tempoh 50 minit kepada pemain Indonesia, Fikri Ihsani Hadmadi, 21-16 21-14.

Kekalahan Soon Huat itu gagal ditebus dengan kemenangan Chong Wei Feng yang menjadi pemain pilihan ketiga aksi kelayakan ini, namun sekali lagi kecewa apabila turut tewas straight set kepada pemain Denmark, Emil Holst 23-21 21-8 dalam tempoh 41 minit.

Drama kekalahan pemain-pemain BAM berterusan apabila harapan tunggal untuk menempah tempat ke kumpulan undian utama tidak kesampaian apabila Daren Liew turut tersungkur secara rubber set kepada pemain Indonesia, Dioysius Hayom Rumbaka 21-19 18-21 21-16.

"Agak sedikit tertekan kerana dua lagi pemain BAM sudah tewas. Jadi saya cuba untuk menang, namun sebaliknya berlaku.

"Hayom ada kelebihan dari segi persiapan yang cukup kerana saya baru balik dari Poland dan tidak cukup masa untuk berlatih.

"Mengenai ketiadaan jurulatih Rashid, saya akui sangat terkejut kerana petang semalam (Isnin) dia ada menelefon memberitahu bermula esok (Selasa) dia tidak lagi menjaga saya.

"Agak sedih juga kerana saya dan Wei Feng sudah lebih 10 tahun bersama dia," katanya selepas perlawanan.

Mengenai masa depannya bersama BAM, Daren memberitahu dia tidak ada perancangan untuk keluar dari persatuan tersebut kerana terdapat masih banyak kejohanan.

Saya tidak fikir apa-apa lagi, masih lagi sayangkan pasukan negara," jelasnya.

BAM, Terbuka Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain