KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Zaqhwan Zaidi mensasarkan sekurang-sekurangnya enam lagi perlumbaan untuk meraih mata dalam saingan Grand Prix (GP) Motosikal Dunia musim ini. Mengakui masih terlalu baharu dalam perlumbaan berprestij itu Zaqhwan daripada pasukan JP Moto Racing Malaysia berkata beliau memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan spesifikasi motosikal jenis Suter. Selepas menduduki kedudukan ke-23 pada perlumbaan GP Qatar di Litar Antarabangsa Losail, pemuda berusia 19 tahun itu berkata beliau perlu tampil lebih agresif di litar dalam setiap perlumbaan. "Keputusan di Qatar memang mengecewakan. Motor yang saya bawa ini (Suter) memang tidak sama dengan jentera ketika saya berlumba dengan jentera 600cc pada Kejohanan Supersports Asia Road Racing (ARRC) tahun lepas. Saingan GP dunia amat berbeza, kebanyakan pelumba Moto2 berpengalaman. "Pada permulaan perlumbaan pada Ahad lepas memang saya berasa teragak-agak, cara menunggang jentera baru saya ini berbeza. Pelumba Moto2 sekarang ini saya lihat lebih kepada 'kemahiran menunggang' dan mereka juga sangat mahir ketika 'membrek'. "Mungkin lima atau enam perlumbaan saya akan buktikan saya mampu meraih mata dalam perlumbaan GP dunia nanti. Sasaran saya adalah mengutip mata pada perlumbaan GP Malaysia di Sepang nanti," katanya kepada pemberita pada temubual khas 'Sembang-sembang Bersama Zaqhwan Zaidi di Restoran Puteri, Damansara pada Rabu. Zaqwan berkata beliau perlu memperbanyakkan masa dan latihan bersama jenteranya serta memperbaiki komunikasi dengan pasukannya untuk menghadapi perlumbaan seterusnya di Litar Amerika Syarikat pada 12 April. "Sasaran saya di litar Amerika nanti adalah menghabiskan perlumbaan, lawan tetap lawan, saya akan pastikan setiap perlumbaan pada musim ini ada peningkatan. Saya perlu banyakkan masa dengan motor baru ini untuk mendapatkan keserasian, itu lebih penting," katanya. Katanya pelumba Moto2 negara iaitu Hafizh Syahrin Abdullah daripada Petronas Raceline dan Azlan Shah Kamaruzaman daripada Idemitsu Honda Team Asia turut memberi tunjuk ajar tentang cara menunggang motosikal bagi saingan Moto2. Tahun lepas, Zaqhwan berjaya meraih kejuaraan kategori 1000cc Siri Super Malaysia, juara keseluruhan kategori 600cc ARRC dan menjuarai Kejuaraan Cub Prix Malaysia kategori CP130.