suria

Terbuka Malaysia: Vivian-Khe Wei Tempah Tiket Ke Suku Akhir

Vivian (kanan) dan Khe Wei mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan beregu Indonesia pada saingan kedua Khamis.
KUALA LUMPUR: Pasangan beregu utama wanita negara, Vivian Kah Mun Hoo dan Woon Khe Wei menempah tiket ke pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas menewaskan pasangan dari Indonesia Anggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut di Stadium Putra Bukit Jalil pada Khamis.

Kemenangan Vivian/Khe Wei bukan hadir dengan mudah selepas tewas pada set kedua dan terpaksa bekerja keras pada set ketiga untuk mencatat kemenangan 21-9 18-21 21-18 dalam tempoh 1 jam 05 minit.

Biarpun tanpa jurulatih di sisi, kedua-dua pemain ini mempemarkan semangat juang yang tinggi untuk mengutip mata dan kemaraan ke aksi suku akhir sekaligus mencapai sasaran yang diletakkan oleh bekas jurulatih mereka Rosman Razak.

"Kami memang bersedia dan menukar corak permainan ketika bertemu pemain Indonesia. Semuanya berjalan lancar pada set pertama. Bagaimana pun, permainan berubah pada set kedua dengan mereka melakukan serangan dan mencatat kemenangan.

"Tetapi kami cuba mengheret permainan ke rubber-set. Perasaaan teruja mara ke suku akhir dan harap kami dapat memperbaiki lagi corak permainan. Pencapaian terbaik mara ke saingan itu, dalam masa sama berharap juga mampu mara ke separuh akhir walaupun sedar cabaran sengit berdepan dengan pasangan dari China," ujar Vivian.

Rosman tidak lagi mengendali skuad beregu wanita negara selepas mengambil keputusan tidak menyambung kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Isnin lalu setelah tiga tahun membimbing skuad beregu wanita negara. 

Dalam pada itu, kedudukan ranking Dunia BWF yang dikeluarkan pada Khamis menyaksikan Vivian-Khe Wei turun dua anak tangga berada tempat ke-18.

Kemaraan ini juga menyaksikan peningkatan selepas gagal melangkah kaki ke aksi suku akhir pada saingan Terbuka India di New Delhi minggu lalu.

Pada aksi suku akhir nanti, pasangan emas negara pada Sukan Sea 2013 ini bakal berdepan dengan beregu pilihan kelapan kejohanan dari China Huan Xia dan Tian Qing yang kini berada di ranking kedua dunia.

Sementara itu, satu lagi pasangan wanita negara yang beraksi dalam saingan kedua ini, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho tewas kepada gandingan Jerman di ranking ke-52 dunia, Isabel Herttrich-Birgit Michels dengan keputusan rubber-set 16-21 21-17 21-14 dalam tempoh 1:03 minit.


Terbuka Malaysia, Badminton

Artikel Sebelum

Artikel Lain