suria

Chen Long, Marin Rangkul Trofi Terbuka Malaysia 2015

Chen Long bersama trofi yang dirangkul selepas menewaskan Lin Dan di Bukit Jalil, petang Ahad.

KUALA LUMPUR: Pemain No.1 dunia dari China, Chen Long menjuarai Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 buat julung kalinya selepas menewaskan rakan senegara, Lin Dan.


Chen Long menundukkan Lin Dan, 20-22 21-13 21-11 pada aksi akhir di Stadium Putra Bukit Jalil pada Ahad.

Pemain China berusia 26 tahun yang menempah tiket ke final dengan menewaskan rakan sepasukan, Wang Zhengming sebelum ini berada dalam prestasi kemuncak selepas bergelar juara Seluruh England bulan lalu.

Biarpun tewas pada set pertama permainan kepada 'Super Dan' itu, Chen Long bangkit mencari rentak berbeza dengan menguasai dua set terakhir untuk menjulang trofi kejohanan ini buat pertama kali dalam tempoh 1 jam 18 minit.

Kedua-dua pemain mempamerkan corak permainan yang berhati-hati, namun Lin Dan lebih bijak mencuri mata untuk menang pada set pertama.

Namun Chen Long lebih bijak membaca rentak permainan rakannya itu dan mendahului 11-3 sebelum mengesahkan gelaran juara keduanya tahun ini.

“Saya bermain dengan baik pada set pertama walaupun tewas, tetapi taktik pada set kedua dan ketiga lebih menjadi dan saya gembira dengan kemenangan ini,” jelasnya selepas perlawanan.

Sementara itu, juara dunia lima kali Lin Dan mengakui agak kecewa kerana masih belum kesampaian untuk merangkul gelaran juara kejohanan ini.

“Saya bermula dengan baik tetapi banyak melakukan kesilapan pada set kedua dan ketiga. Pergerakan saya juga agak perlahan yang menyebabkan kekalahan pada perlawanan ini.

“Saya mengalami kecederaan sejak tahun lalu dan cuba yang terbaik. Saya kini membuat persiapan rapi untuk Sukan Olimpik tahun depan,” jelasnya.

Bagi acara perseorangan wanita menyaksikan juara bertukar tangan apabila pemain utama China yang juga pemenang edisi lalu ditewaskan pemain muda Sepanyol, Carolina Marin dalam aksi rubber-set dengan keputusan 19-21 21-19 21-17 dalam tempoh 1 jam 11 minit.

“Selepas menjuarai Seluruh England, tahap keyakinan saya semakin meningkat dan sangat berpuas hati dengan kemenangan di sini memandangkan ianya bukan mudah.

“Pada masa ini saya merasakan berada di kemuncak permainan,”  kata Marin,21, yang juga merupakan juara dunia 2014.


Kategori lelaki beregu pula menyaksikan pasangan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan menundukkan beregu Korea Selatan Lee Yong Dae/Yoo Yeon Seong 14-21 21-15 23-21.

Manakala acara beregu wanita pula trofi juara dirangkul oleh pasangan dari China, Luo Ying/Luo Yu mengalahkan beregu Korea Selatan, Chang Ye Na dan Jung Kyun Eun, 21-18 21-9 dalam tempoh 54 minit.

Acara beregu campuran pula, juara dan naib juara dirangkul pasangan dari China, Zhang Nan/Zhao Yunlei yang mengetepikan Xu Chen dan Ma Jin, 21-16 21-14.




Chen Long, Lin Dan, Bukit Jalil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bayern Benam Dortmund 1-0

Artikel Lain