suria

T-Team Dahului Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Pasukan T-Team merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas DRB Hicom FC di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak, Jumaat.

Kejayaan tersebut menyaksikan T-Team yang sebelum ini berada di tangga keempat liga, berkongsi 14 mata dengan Pulau Pinang, namun berada di kedudukan teratas berdasarkan perbezaan gol.

Kedudukan itu, bagaimanapun dijangka berubah apabila Pulau Pinang yang sebelum ini menghuni tangga teratas liga, menentang NS Matrix di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad ini.

Pada aksi di Stadium Proton, penyerang import dari Uzbekistan, Farhod Tadjiyev muncul wira T-Team apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-41 dan ke-71, manakala gol tunggal DRB Hicom FC menerusi Aris Zaidi pada minit ke-90.

Dalam pada itu, Sabah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk merampas kedudukan teratas liga, apabila seri 1-1 dengan Selangor PKNS FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pasukan 'Rhinos' mendahului perlawanan menerusi pemain import dari Libya, Eamon Zayed pada minit ke-15, namun gagal mempertahankan kedudukan itu apabila Pedro Henrique menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-76, sekali gus menyebabkan mereka turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga. 

Di Stadium UiTM, Shah Alam, pasukan UiTM FC meneruskan rentak kemenangan apabila mengalahkan Kuantan FA 3-2.

Skuad 'The Lion Troops' bermula cemerlang dengan dua jaringan pada babak pertama menerusi Abdi Kassim Sadallah pada minit ke-15 dan pemain import dari Ivory Coast, Dao Bakary pada minit ke-39.

Pasukan Kuantan FA bertambah parah apabila penjaga golnya, Judtanna Eh Put dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan pemain UiTM FC, Nursalam Zainal Abidin dalam kotak penalti dan Bakary tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-72.

Beraksi dengan 10 pemain nyata tidak mematahkan semangat skuad 'The Seagulls' yang merapatkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti Milan Purovic pada minit ke-84 sebelum pemain import baharu dari Haiti, Fabrice Noel menyumbat masuk gol kedua Kuantan FA, selang tiga minit kemudian.

Pasukan Kuala Lumpur pula meraih kemenangan kedua musim ini apabila menang tipis 1-0 ke atas SPA Putrajaya FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, hasil jaringan tunggal penyerang import dari Cameroon, Kalle Sone pada minit ke-72.

T-Team, Liga Perdana

Artikel Lain