suria

Lebih Tenang, Teruskan Latihan - Chong Wei

Chong Wei (kanan) menjawab pertanyaan pemberita sebaik tiba di KLIA pagi Isnin selepas menghadiri pendengaran kes doping beliau di Amsterdam.

SEPANG: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata dirinya kini lebih tenang selepas pendengaran kes dopingnya yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama sudah selesai di Amsterdam pada Sabtu.

Chong Wei, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) awal pagi Isnin berkata, beliau akan meneruskan latihan Selasa sementara menunggu keputusan kes doping itu tiga minggu lagi.

"Sudah habis pendengaran, saya kini tenang sikit sebab saya tunggu sudah enam bulan, dan mahu tunggu tiga minggu saja lagi.

"Saya akan teruskan latihan dahulu dan tengok keputusan macam mana.

Saya rasa esok akan mula latihan," katanya ketika ditemui pemberita di KLIA.

Chong Wei yang diiringi Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh dan anggota Majlis BAM Jadadish Chandra kelihatan agak ceria dan tenang berbanding dengan keadaan sebelum beliau berlepas ke London pada 8 April.

Beliau turut berjenaka dengan pemberita ketika ditanya tentang harapannya berhubung pendengaran itu dan menjawab sambil tersenyum: "Apa yang kamu harap?Sudah tentulah harapan yang bagus-bagus sahaja."

Dalam pada itu Chong Wei berkata, beliau berpuas hati dengan cara peguam sukan terkemuka Mike Morgan mengendalikan kesnya dengan amat baik dalam pendengaran selama lapan jam di dalam sebuah bilik di Saturn Hotel Sheraton di Lapangan Terbang Amsterdam.

Proses pendengaran itu bermula 9.25 pagi Saturday (3.25 petang waktu Malaysia) di hadapan panel tiga anggota iaitu dua dari Eropah dan seorang dari India.

"Saya punya pendengaran sudah selesai ... Apa-apa pun kita cuma tunggu tiga minggu sajalah. Kita tidak boleh komen keputusan macam mana, ini kena tengok panel. Saya rasa gembira dengan prestasi peguam. Dia laksanakan pendengaran dengan baik dan terang," katanya.

Chong Wei, 33, digantung oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, pada Ogos 2014.

Pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 itu digantung oleh BWF pada 11 Nov, 2014 sementara menunggu kesnya didengar di Amsterdam pada 11 April.

Berkuat kuasa 1 Jan tahun ini, BWF meminda peraturan dopingnya dan mereka yang disahkan mengambil bahan terlarang boleh digantung sehingga empat tahun.-- Bernama


Lee Chong Wei, KLIA, doping, Amsterdam, BWF

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain