MIMPI Louis van Gaal menjadi realiti apabila Manchester United menang bergaya empat gol ke atas Manchester City pada aksi luar biasa di Old Trafford lewat Ahad malam. Sebelum itu, pemain-pemain United tersentak dengan jaringan seawal lapan minit permainan oleh Sergio Aguero. Namun United tidak mengambil tempoh yang lama untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-14 oleh Ashley Young sebelum Marouane Fellaini menambah gol kedua (27’) melalui tandukan padu ke arah gol sekaligus memastikan pasukannya boleh berehat dengan tenang sebelum babak kedua bermula. Bersambung ke separuh masa kedua, pasukan United mula menunjukkan corak permainan yang lebih kemas kepada City apabila Juan Mata berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-67. Malah tekanan skuad Manuel Pallegrini itu semakin terasa apabila Chris Smalling menghadiahkan gol keempat kepada penyokong-penyokong setia yang memenuhi stadium minit ke-73. Kedudukan selesa 4-1 diharap kekal sehingga ke wisel penamat, namun Aguero berjaya menambah gol kedua untuk City minit ke-89. Dalam pada itu Van Gaal berkata, sebelum perlawanan, dia dan pemain-pemainnya ‘bermimpi’ menewaskan musuh terdekatnya itu buat julung kalinya sejak Disember 2012. “Apa sahaja mimpi, saya tetap menganggap aksi pemain-pemain kali ini di luar jangkaan,” katanya. Aksi kemenangan ini juga bakal membuatkan Arsenal berasa tergugat memandangkan hanya kelebihan satu mata (66) daripada United (65) untuk berada di kedudukan kedua. Manakala City di kedudukan keempat dengan 61 mata.