REAL Madrid dan Atletico Madrid, kedua-duanya gagal meraih sebarang jaringan dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu. Pada permainan di Stadium Vicente Calderon di Madrid, keputusan terikat 0-0. Gareth Bale mungkin mempunyai peluang terbaik buat Real Madrid seawal minit ketiga apabila dia melepasi halangan selepas kegagalan yang dibuat Diego Godin. Bagaimanapun, langkah Bale untuk membuat jaringan berjaya diatasi oleh penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak. "Saya benar-benar gembira seperti rakan sepasukan yang lain kerana hari ini kami bekerja keras dan ia merupakan permainan yang sukar tetapi kami masih dapat mengatasinya," kata Oblak dalam satu temuramah dengan stesen televisyen Sepanyol, RTVE. "Sudah tentu kami mahu menang tetapi juga penting yang kami tidak kalah sebagai tuan rumah," tambahnya. "Saya tidak tahu siapa yang menjadi pilihan sekarang. Madrid merupakan pasukan yang bagus kerana mempunyai pemain-pemain yang bagus." Real Madrid mempunyai banyak peluang keemasan dalam permainan ini namun nampaknya penampilan cemerlang Oblak dan barisan pertahanan Atletico Madrid menggagalkan kesemuanya. Walaupun ia merupakan kerugian bagi Real Madrid, tetapi Pengarah kelab itu, Emilio Butragueno mengakui cukup berpuas hati dengan hasil tersebut. Menurutnya, tidak dikalahkan oleh pasukan yang sering gagal ditewaskan mereka seperti Atletico Madrid sudah cukup baik. "Adalah baik untuk mengelakkan daripada kekalahan, walaupun kita tahu betapa pentingnya mendapatkan gol sebagai pasukan tetamu. Kita memberi jaminan kepada para penyokong akan memastikan keadaan menjadi luar biasa pada perlawanan kedua nanti," kata Butragueno kepada UEFA. "Kita semua harus percaya bahawa pasukan kita mampu memasuki peringkat separuh akhir," tambahnya.