suria

China Masters: Lima Beregu Malaysia Mara Ke Suku Akhir

Khe Wei (kiri) dan Vivian Hoo mara ke aksi suku akhir China Masters pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Lima beregu negara menempah slot ke suku akhir setelah mengetepikan lawan masing-masing pada pusingan kedua Kejohanan Badminton China Masters 2015 yang berlangsung di Changzhou, China pada Khamis.

Pasangan Vivian Hoo dan Woon Khe Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama dalam acara beregu wanita, mara selepas menumpaskan pasangan tuan rumah Du Yue dan Li Yin Hui pada perlawanan yang berlangsung sehingga set penentuan.

Gandingan negara itu, terpaksa mengerah tenaga sebelum mengetepikan cabaran gandingan dari China itu 18-21, 21-18 dan 21-12 pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam enam minit.

Beregu ranking ke-13 dunia itu yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwe l2014, akan berdepan pasangan dari Jepun Arisa Higashino dan Chisato Hoshi pada suku akhir pada Jumaat.

Gandingan Jepun itu menempah slot ke suku akhir selepas mengalahkan beregudari Thailand, Supanida Katethong dan Panjarat Pransopon 21-12 dan 21-15 dalam masa 29 minit.

Satu lagi pasangan negara Lim Yin Loo dan Lee Meng Yean, bagaimanapun gagal mara ke suku akhir selepas dikecewakan pasangan bukan pilihan dari Taiwan,Cheng Wen Hsing dan Shuai Pei Ling 21-23 dan 19-21. 

Hoon Thien How dan Lim Khim Wah terus menampilkan prestasi membanggakan pada penampilan antarabangsa pertama mereka sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lepas, apabila turut mara ke suku akhir.

Pasangan beregu lelaki negara itu yang baru digandingkan, menumpaskan gandingan Singapura Terry Hee Yong Kai dan Hendra Wijaya 21-19 dan 21-11.

Gandingan Malaysia itu yang mendapat 'bye' pada pusingan pertama, akan berdepan pasangan bukan pilihan dari Taiwan, Liao Min Chun dan Tseng Min Hao yang mengejutkan beregu utama China, Liu Xiaolong dan Qiu Zihan 21-17 dan 23-21.

Dua lagi pasangan beregu lelaki negara, bagaimanapun gagal mara ke suku akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Tan Wee Gieen dan Teo Ee Yi kalah kepada pasangan China, Huang Kaixiang danYu Xiaoyu 22-24, 19-21, manakala Chooi Kah Ming dan Ow Yao Han tumpas kepada satu lagi pasangan tuan rumah, Wang Yilv dan Zhang Wen 10-21 dan 16-21. 

Sementara itu, tiga pasangan beregu campuran mara ke suku akhir selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing pada pusingan kedua hari ini.

Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mengambil masa 31 minit untuk mengalahkan pasangan China, He Jiting dan Du Yue 21-15 dan 21-13 manakala Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing mengetepikan cabaran gandingan Singapura Terry Hee Yong Kai dan Tan Wei Han 21-14 dan 21-17.

Tan Chee Tean dan Shevon Lai Jemie juga mempamerkan aksi bertenaga apabila menewaskan rakan senegara, Chooi Kah Ming dan Lee Meng Yean 17-21, 21-16 dan 21-16.

Dalam pada itu, bekas juara All-England Muhammad Hafiz Hashim dikejutkan oleh pemain muda China berusia 17 tahun, Lin Gui Pu 15-21, 22-20 dan 16-21 pada pertarungan sengit yang berlangsung selama satu jam enam minit.

Muhammad Hafiz, yang merupakan wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan tersebut, bangkit di set kedua dengan kemenangan 22-20, namun gagal mengekang kemaraan Lin di set penentuan.

BAM tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan wanita pada kejohanan Grand Prix Emas itu, yang menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah US$250,000 (RM926,990). 

China Masters, Malaysia

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain