PASUKAN renang Amerika Syarikat (AS) menggugurkan nama atlet sensasinya, Michael Phelps daripada bertanding pada kejuaraan dunia di Rusia tahun ini. Perkara itu dilaporkan USA Today pada Rabu. Pada bulan lalu, peluang Phelps untuk beraksi tampak cerah apabila Pengarah Eksekutif Pasukan Renang AS, Chuck Wielgus berkata juara Sukan Olimpik 18 kali itu mungkin akan dibenarkan menyertai kejohanan yang akan berlangsung pada Ogos ini. "Ia jelas sesuatu yang mencabar bagi saya kerana tidak dapat beraksi pada kejohanan dunia. Saya akan memberikan sepenuh sokongan kepada skuad ini dan saya ucapkan selamat mahu jaya kepada mereka di Kazan," kata Phelps dalam temubual bersama USA Today. Phelps yang kembali beraksi minggu ini selepas menjalani penggantungan selama enam bulan atas sabitan memandu dalam keadaan mabuk turut tidak dibenarkan bertanding kejohanan peringkat global itu. Ia adalah sebahagian daripada hukuman yang perlu dijalaninya. Phelps membuat kenyataan semasa sidang media pada kejohanan Siri Renang Pro Arena di Mesa, Arizona yang menyaksikan penglibatannya dalam lima acara minggu ini. Dia akan menyertai acara 100 meter (m) gaya kupu-kupu pada Khamis, 100m kuak lentang dan 400m gaya bebas pada Jumaat dan 200m rampaian individu serta 100m gaya bebas pada Sabtu ini. Kejohanan itu turut menarik penyertaan beberapa perenang terkemuka AS termasuk pesaing utama Phelps, Ryan Lochte yang menyertai lima acara yang sama.