suria

Novak Djokovic Ke Final Masters Monte Carlo

PEMAIN tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic mara ke final Masters Monte Carlo buat kali keempat setelah menundukkan Rafael Nadal 6-3 6-3 pada Sabtu.

Kedua-dua pemain menunjukkan prestasi cemerlang dan Nadal dilihat seperti dirinya yang dulu, menunjukkan sifat agresif dan membuat pukulan pertahanan yang baik.

Tetapi Nadal yang masih bergelut untuk mencapai prestasi terbaik sejak pulih dariPADA kecederaan pergelangan tangan dilihat tidak cukup konsisten untuk menundukkan Djokovic.

Pemain Sepanyol itu pasti kesal dengan peluang yang dilepaskan dalam permainan ketujuh pada set pembukaan apabila dia tidak dapat meneruskan momentum setelah membuat satu pukulan depan yang menakjubkan di atas garisan menyebabkan Djokovic tersalah langkah.

Nadal mengalami nasib malang pada permainan seterusnya, terlepas pukulan kilas yang mudah untuk memberikan Djokovic dua 'break point'.

Set kedua dilihat lebih sengit dan Nadal bekerja keras untuk menghidupkan peluang untuk memenangi perlawanan.

Pemain nombor lima dunia itu berjaya menyelamatkan dua 'break point' tetapi sifat agresif yang ditunjukkan Djokovic akhirnya terbalas apabila memenangi perlawanan tersebut selepas permainan ketujuh.

Djokovic berjaya membalas pukulan serve dari Nadal pada permainan kesembilan untuk memastikan kemenangan ke-20 menentang Nadal dalam 43 perlawanan.

"Saya sentiasa mengekalkan mentaliti untuk menang walaupun saya berada dalam tekanan.

"Saya berikan fokus dan berada dalam keadaan terbaik jadi saya tidak berasa penat," kata Juara Wimbledon dan Terbuka Australia itu selepas kemenangannya.

Nadal masih lagi mendahului rekod pertemuannya dengan Djokovic, 23-20 tetapi kalah dalam lima perlawanan terakhir menentang pemain dari Serbia itu.

Nadal, Djokovic

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain