suria

Azraai Khor Puas Hati Persembahan Pemain Import

Pemain Kelantan, Iwuji Amachi berjaya melepasi benteng pertahanan Sime Darby.

KOTA BAHARU: Jurulatih Kelantan Mohd Azraai KhorAbdullah berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh kesemua pemain import pasukan itu.

Katanya, persembahan cemerlang yang dipamerkan barisan pemain importnya membolehkan Kelantan mencatat kemenangan 3-0 pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Sime Darby FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Selasa malam.

"Kemenangan adalah disebabkan kerjasama tiga penyerang import iaitu Erwin Carillo, Austin Amutu dan Gilmar Da Silva, mereka semua ada keserasian.

"Ini merupakan kemenangan yang dinantikan, Amutu pula memuaskan, apa yang dirancang dapat dilakukan dan kami mempunyai barisan penyerang yang seimbang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu itu, pasukan Kelantan hanya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-40 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi setelah beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh kapten pasukan pelawat, Ivan Dragicevic.

Pemain import baharu dari Nigeria, Amutu menggandakan kedudukan untuk Kelantan pada minit ke-58 sebelum Carillo mengesahkan tiket separuh akhir untuk Kelantan setelah menyudahkan hantaran daripada Amutu pada minit ke-74.

Mohd Azraai Khor berkata kemenangan pertama sejak mengambil alih pasukan daripada George Boateng diharap dapat menaikkan semangat pasukan untuk beraksi lebih baik dalam saingan Liga Malaysia terutama untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

"Selepas lima perlawanan baru kami dapat kemenangan, saya harap kami dapat kekalkan momentum.

"Terima kasih juga kepada penyokong yang tidak putus asa memberi sokongan, kami akan berusaha lebih lagi untuk mempertingkat pasukan," katanya.

Sementara itu, Mohd Azraai, berkata pemain juga dinasihatkan untuk terus berusaha meningkatkan mutu permainan dan fokus pada perlawanan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, Sabtu ini.

"Kami perlu berhati-hati kerana pencapaian Selangor kebelakangan ini amatbaik," katanya.

Selepas lapan perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan hanya menjaringkanenam gol dan kini berada di tangga ke-10 dengan tujuh mata, selepas hanya mencatat dua kemenangan dan satu seri.

Artikel Lain