KUALA LUMPUR: Lokasi kem latihan akhir kontinjen negara ke Sukan SEA Singapura pada 22 hingga 24 Mei ini, yang sebelum ini dijadualkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam bertukar ke Hotel IOI Palm Garden Resort, Putrajaya. Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pertukaran lokasi kem latihan yang melibatkan 600 atlet dan pegawai sukan itu dilakukan kerana beberapa faktor berhubung keadaan penginapan di universiti itu. "Setelah melakukan pemantauan di sana (UiTM Puncak Alam), kami berasa sedikit tidak berpuas hati dengan keadaan di sana. Salah satu masalah adalah dari segi jarak dan kami juga risau atlet terdedah dengan denggi. "Kami ingin menyediakan penginapan yang kondusif untuk atlet negara. Saya sekali lagi mengingatkan kem latihan ini adalah mandatori kepada semua atlet yang berada di dalam negara, semua latihan perlu direhatkan sementara," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama atlet sukan memanah, renang berirama, taekwondo dan ski air di Institut Sukan Negara (ISN) pada Jumaat. Sebelum ini, kem latihan akhir itu dicadang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, dari 28 hingga 30 Mei, bagaimanapun lokasi tersebut ditukar ke Kuala Lumpur kerana mahu mengelak gangguan terhadap persiapan dan latihan atlet ke Sukan SEA. | Norza berkata pihak Majlis Sukan Negara (MSN) akan menggunakan khidmat beberapa fasilitator bagi mengendali kem latihan tersebut. "Kem latihan ini adalah untuk meningkatkan semangat kesukanan antara atlet negara. MSN akan memilih fasilitator yang pakar dalam mengendali kem itu nanti,"katanya. Dalam perkembangan lain, Norza berkata atlet negara yang beraksi di temasya dwitahunan itu perlu menjaga disiplin serta integriti masing-masing supaya tidak menjejaskan prestasi mereka. "Saya memberitahu atlet, mereka perlu menjaga integriti dan disiplin kerana atlet yang terlibat tidak ditempatkan dalam perkampungan sukan di Singapura. Pengurus pasukan dan jurulatih perlu memantau di mana atlet mereka berada ketika di sana," katanya. Sukan SEA Singapura dari 5 hingga 16 Jun ini mempertandingkan 37 acara termasuk memperkenalkan acara baharu iaitu 'floorball' yang menyerupai sukan hoki selain menggugurkan acara karate.