PETALING JAYA: Tiket perlawanan persahabatan antara Malaysia XI dan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, pada 24 Julai ini, mula dijual, Sabtu. Harga tiket perlawanan bermula daripada RM88, RM158, RM228 dan harga tiket VIP berharga RM328 dan RM428 boleh dibeli dalam talian menerusi laman web rasmi http://www.ticketpro.com.my/jnp/sports/football/1587891-Liverpool-FC.html. Ketua Pegawai Eksekutif, ProEvents International Sdn. Bhd., Julian Kam ketika melancarkan penjualan tiket di sini, Sabtu berkata pihaknya berharap untuk mengulangi pencapaian kehadiran 85,000 penonton di stadium sama semasa kunjungan pasukan itu pada 2011. Perlawanan persahabatan itu dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan dipromosikan oleh ProEvents.-- Bernama