PUTRAJAYA: Bekas pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menarik nafas lega dengan keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung sesi pendengaran kes dopingnya di Belanda, 11 April lalu. Chong Wei yang hadir pada sidang media pengumuman keputusan tersebut kelihatan lebih ceria selepas mengetahui BWF menggantungnya selama lapan bulan bermula tarikh ujian doping pada aksi Kejuaraan Dunia di Copenhagen 30 Ogos tahun lalu. Ini bermakna, Chong Wei bakal mengakhiri hukumannya pada 30 April ini sekaligus menghadiahkan 'pembebasannya' itu kepada isterinya, Datin Wong Mew Choo yang akan menyambut hari lahir yang ke-32 pada 1 Mei ini. “Beliau (Mew Choo) turut tertekan dengan kes ini dan sentiasa ada di sisi saya memberi semangat. Sebaik sahaja menerima berita gembira ini, saya terus memberitahunya. Keputusan ini adalah hadiah hari jadinya,” katanya selepas sidang media keputusan kes doping BWF di Kementerian Belia dan Sukan, di sini pada Isnin. Chong Wei dan Mew Choo berkahwin 9 November 2012 dan mempunyai seorang anak lelaki Kingston Lee yang lahir dua tahun lalu, dan kini bekas pemain wanita negara itu sedang mengandung anak kedua mereka. Chong Wei bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden BAM, Datuk Norza Zakaria pada sidang media berhubung keputusan sesi pendengaran kes dopingnya di Putrajaya, Isnin. Anak kelahiran Pulau Pinang ini mengakui tempoh enam bulan sebelum ini agak sukar baginya, namun beliau tidak pernah berputus asa untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. “Banyak pengajaran yang saya peroleh daripada kes ini. Kini saya sedar bagaimana untuk menghadapi keadaan sukar seperti ini dan percaya kadang-kala hidup kita ada bangun dan jatuh. “Saya berterima kasih kepada semua kerana terus memberi semangat dan menyokong saya ketika dalam tempoh penggantungan," katanya. Beliau juga berjanji akan lebih bekerja keras kerana sudah lama tidak beraksi bagi melayakkan diri pada Sukan Olimpik di Rio De Janeirio dan juga Kejuaraan Dunia tahun depan. “Bulan depan saya akan menyertai Piala Sudirman dan seterusnya Sukan SEA pada Jun. Diharap semuanya berjalan dengan baik," katanya. Mengenai tahap kecergasan pula, beliau tidak menganggap ia masalah besar kerana tetap turun ke gelanggang menjalani latihan dalam tempoh penggantungan. “Saya jadi rakan ‘sparring’ kepada Liew Daren dan yang lain-lain,” katanya. Ikon badminton negara ini didapati bersalah menggunakan bahan terlarang Dexamethasone pada Ogos tahun lalu. Namun selepas berlangsungnya sesi pendengaran kes doping ini, pihak panel BWF telah memutuskan bahawa punca dexamethasone ada dalam badannya disebabkan oleh kapsul herba ‘Cordyceps’ yang diamalnya sejak berusia 13 tahun. Malah BWF menjelaskan, ia kes yang luar biasa dan jarang berlaku dan menganggap Chong Wei bukan sengaja menggunakan bahan terlarang, tetapi lebih kepada kecuaian.