suria

Badminton Malaysia Bakal Menyinar, Hendrawan Yakin Chong Wei Mampu Kembali Ke Puncak

Hendrawan percaya Chong Wei mampu meraih gelaran juara dunia.

KUALA LUMPUR: Badminton Malaysia sekali lagi bakal bersinar.

Datuk Lee Chong Wei telah diberikan lampu hijau untuk menyertai perlawanan selepas tujuh bulan 'berehat' berikutan kes doping.

Ketiadaan Chong Wei amat dirasai apabila Malaysia seolah-olah berada dalam kegelapan dan teraba-raba mencari pemenang untuk setiap kejohanan acara ini.

Empat kejohanan Superseries berprestij di gelanggang badminton musim ini menyaksikan Malaysia tersingkir pada pusingan awal.

Chong Wei merupakan juara perseorangan lelaki sebanyak enam kali pada 2013 dan empat kali pada tahun 2014, sekali gus menjadikan beliau ahli sukan yang paling berjaya di Malaysia.

Jurulatih kebangsaan Hendrawan percaya pemain berusia 32 tahun ini mempunyai ciri-ciri dan kemampuan untuk berada di puncak sekali lagi.

"Chong Wei akan kembali memberi saingan tidak lama lagi walaupun pesaing-pesaingnya telah berada di hadapan pada masa ini. Dia akan bangkit semula dan negara sekali lagi akan bersorak," kata Hendrawan.

Bekas juara dunia dari Indonesia itu dilantik Morten Frost yang kini menjadi Pengarah Teknikal oleh Persatuan Badminton Malaysia akan melatih Chong Wei.

Pemain lain di bawah bimbingan Hendrawan adalah Liew Daren, Chean Jun Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin. Chong Wei sebelum ini berada di bawah Tey Seu Bock.

"Beregu badminton Indonesia Sigit Budiarto telah digantung selama dua tahun selepas didapati positif bahan terlarang pada Terbuka Singapura 1998. Dia tampil kembali dengan penuh bertenaga dan berada dalam kumpulan yang sama dengan saya untuk memenangi gelaran Piala Thomas 2002. Saya menjangkakan Chong Wei akan kembali dengan penuh bertenaga juga," kata Hendrawan.

Katanya, beliau akan duduk dengan Chong Wei bagi merancang jadual untuk musim ini.

"Chong Wei sudah tidak menyertai kejohanan selama tujuh bulan. Adalah penting bagi kita untuk merancang dengan teliti. Kita perlu selektif terhadap kejohanan.

"Apabila Morten memberikan tugas kepada saya untuk melatih Chong Wei, beliau menetapkan dua matlamat iaitu membantunya memenangi gelaran dunia dan menjadi juara Olimpik.

"Pada masa ini, kita perlu mengkaji semula program latihan. Kita akan memilih beberapa kejohanan Superseries untuk bersaing dengan kejohanan utama menjadi fokus. Adalah tugas saya untuk membantunya merealisasikan impian menjadi juara dunia dan juara Olimpik."

Tugasan pertama Chong Wei adalah menyertai pasukan campuran untuk kejohanan Piala Sudirman di Dongguan, China, dari 10-17 Mei.

Ia akan disusuli dengan Sukan SEA Singapura pada bulan Jun. Cabaran terbesar bagi Chong Wei adalah Kejohanan Dunia di Jakarta dari 10-16 Ogos.

Kejohanan Superseries Akan Datang

Terbuka Australia 26 - 31 Mei/ Terbuka Indonesia 2 - 7 Jun/ Terbuka Jepun 8 - 13 September/ Terbuka Korea 15 - 20 September/ Terbuka Denmark 13 - 18 Oktober/ Terbuka Perancis 20 - 25 Oktober/ Terbuka China 10 - 15 November/ Terbuka Hong Kong 17 - 22 November

Superseries Terdahulu

All England 3 - 8 Mac/ Terbuka India 24 - 29 Mac/ Terbuka Malaysia 31 Mac - 5 April/ Terbuka Singapura 7 - 12 April

Kemenangan

China: 11/ India: 2/ Indonesia 2/ Jepun: 2/ Sepanyol: 2/ Denmark: 1

Artikel Lain