PETALING JAYA: Hampir 22 tahun berkecimbung dalam dunia sukan bina badan, tidak pernah terlintas di benak fikiran Olahragawan Kebangsaan 2014, Sazali Abd Samad untuk bersara. Mungkin bagi atlet lain faktor umur menjadi alasan apabila prestasi itu merosot, tetapi bagi Sazali hanya satu sebab sahaja kejayaan konsisten akan hadir, iaitu disiplin. “Ramai orang tertanya-tanya bila saya mahu bersara kerana rata-rata atlet pada usia saya ini (47) sudah bersara atau menjadi jurulatih. “Namun bagi saya, selagi saya mampu, badan sihat sudah tentu saya akan terus beraksi ke tahap tertinggi. Untuk sampai ke tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak pengorbanan perlu dilakukan. “Kunci kejayaan saya untuk sampai ke tahap ini adalah disiplin. Disiplin ini ada banyak cabang dan saya perlu pastikan setiapnya dilakukan dengan ikhlas,” jelas Sazali selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2014 buat dua tahun berturut-turut pada majlis Anugerah Sukan Negara, Selasa. Sazali yang melakar gelaran juara ke-10 pada Kejohanan Bina Badan Dunia Mr Universe di Mumbai tahun lalu berkata, kejayaan yang dilakar hingga ke hari ini adalah sokongan daripada semua pihak. “Tanpa sokongan keluarga, majikan (Polis Diraja Malaysia), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), kawan-kawan dan lain-lain pihak, sudah tentu saya tidak akan berada di sini. “Sebagai balasan, saya berusaha dan memberi fokus untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. “Saya secara jujurnya amat gembira dengan anugerah Olahragawan Kebangsaan 2014 kerana saya tahu bukan mudah pihak panel untuk memilih pemenang memandangkan tahun lalu banyak kejayaan dicipta oleh atlet-atlet kita di Sukan Asia serta Sukan Komanwel. “Dan dengan bangganya juga sebagai seorang bapa, saya menghadiahkan trofi ini kepada anak sulung saya, Mohd Syahmi yang menyambut hari lahir yang ke-17 hari ini (28 April),” katanya yang turut menerima gelaran ini pada tahun 2013,2006 dan 2000. Selain bergelar juara Mr Universe dunia, Sazali juga turut muncul juara pada Kejohanan Bina Badan Persekutuan Bina Badan dan Fizikal Sedunia (WBPF) di Macau dalam kategori 75 kilogram tahun lepas.